UTHM di tangga ke-247 dalam Asia University Ranking 2022

UTHM
UTHM
A
A
A

BATU PAHAT - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meningkatkan kedudukannya ke tangga 247 dalam Asia University Ranking 2022 berbanding kedudukan berjulat 291-300 pada tahun sebelumnya.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, ia merupakan pencapaian terbaik UTHM dalam penarafan tahunan QS Asia University Rankings sejak kali pertama tersenarai pada tahun 2018, sekali gus menzahirkan rasa syukur.

Katanya, kejayaan berkenaan hasil pelbagai inisiatif baharu dalam penyelidikan berimpak yang berteraskan bidang Teknologi Lestari dan Pengangkutan.

“UTHM turut menerapkan pendekatan berbeza dalam meningkatkan jaringan pengantarabangsaan seriring dengan keperluan norma baharu.

“Kedua-dua faktor ini secara langsung membantu meningkatkan keterlihatan jenama UTHM di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko, Dr Muhammad Akmal Johar berkata, sembilan daripada 11 indikator yang dinilai telah melebihi paras median dalam kalangan 687 universiti tersenarai di peringkat Asia.

Tambah beliau, nisbah penerbitan/fakulti merupakan indikator tertinggi dalam penilaian kali ini.

“Ini membuktikan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan staf akademik UTHM semakin berkembang, sekali gus mampu memberi manfaat kepada komuniti, industri dan alam.

Artikel Berkaitan:

“Kejayaan ini bertepatan dengan misi UTHM menyediakan penyelesaian teknikal bagi keperluan industri dan komuniti berasaskan paradigma tauhid.

“Ini juga seiring dengan hala tuju yang dinyatakan dalam Pelan Strategik 2021-2025 UTHM sebagai sebuah universiti teknopreneur bertaraf global menjelang 2030,” katanya. - Bernama