PRN Melaka: Norhizam umum bertanding tiket Bebas

Norhizam
Norhizam
A
A
A

MELAKA - [DIKEMASKINI] Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee mengesahkan beliau akan bertanding atas tiket bebas bagi mempertahankan kerusi tersebut.

Beliau mengumumkan perkara itu pada sidang media di Bilik Gerakannya di Peringgit di sini pada Ahad.

Norhizam berkata, beliau mahu membuktikan bahawa wakil rakyat bebas juga boleh melaksanakan tanggungjawab berkhidmat demi rakyat.

"Saya tidak hilang daripada radar. Hari ini saya muncul. Selama ini bukan saya tak nak bercakap. Saya tak mahu bercerita soal politik, saya lebih pada rakyat.

"Saya ingin teruskan usaha bantu rakyat Melaka. Borang sudah diisi, sudah bayar deposit kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, dan kepada pihak berkuasa tempatan. Pencadang dan penyokong juga sudah ada,"katanya.

Pada masa sama, beliau turut mendedahkan telah menolak tawaran daripada lebih empat parti yang 'melamarnya' untuk bertanding atas tiket parti berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan parti yang terlibat.

"Saya yakin atas tiket bebas, 80 peratus saya boleh menang. Saya tidak cakap kosong, kerana selama tiga tahun lebih saya turun padang berkhidmat untuk rakyat, menjiwai rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Saya bebas dan saya rasa perkhidmatan yang saya beri lebih baik daripada yang ada parti,"katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak lompat parti kerana memilih menjadi wakil rakyat bebas selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

"Ketika itu tarik diri dan ambil jalan bersama Perikatan Nasional (PN) sebab saya mahu teruskan khidmat. Kalau tak ada peruntukan, bagaimana saya mahu salurkan bantuan kebajikan,"katanya.

Norhizam merupakan salah seorang daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebelum DUN Melaka diumumkan bubar.

Tiga lagi ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan (ADUN Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (ADUN Telok Mas).