Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga bekas penembak negara

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas atlet menembak negara, Muslifah Zulkifli yang meninggal dunia pada Sabtu.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Muslifah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik di Facebook pada Sabtu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarhamah kepada negara.

Muslifah, 35, yang meninggal dunia di Hospital Gleneagles Pulau Pinang pada pukul 2.30 pagi sebelum ini merupakan antara penembak yang berada dalam program latihan kebangsaan dan tersenarai untuk Program Podium dari tahun 2015 hingga 2017.

Allahyarhamah pernah menyumbang pingat gangsa pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan dalam acara 50 meter (m) rifle prone berpasukan wanita bersama Nur Suryani Taibi dan Ayuni Farhana Halim, serta mewakili negara pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland dalam acara 50m Rifle Prone Wanita dan 50m Rifle (Tiga Posisi). - Bernama

Artikel Berkaitan: