PDRM cadang wartakan Melaka zon larangan dron sepanjang PRN

PDRM bercadang mewartakan Melaka sebagai zon larangan menerbangkan dron sepanjang tempoh PRN bagi memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman awam di negeri itu terjamin. Foto hiasan
PDRM bercadang mewartakan Melaka sebagai zon larangan menerbangkan dron sepanjang tempoh PRN bagi memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman awam di negeri itu terjamin. Foto hiasan
A
A
A

MELAKA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang mewartakan Melaka sebagai zon larangan menerbangkan dron sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman awam di negeri itu terjamin.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, cadangan berkenaan yang masih di peringkat perbincangan dengan pihak Peguam Negara dijangka dimuktamadkan Isnin ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, penggunaan dron bagi parti politik di negeri itu sepanjang PRN Melaka akan dibenarkan dengan syarat ketat antaranya mendapatkan permit daripada pihak berkuasa termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"Bagi saya dron merupakan satu ancamam, ia boleh digunakan untuk tujuan baik dan buruk termasuk mewujudkan ancaman dan provokasi. Dron boleh digunakan untuk membawa senjata, gas beracun, cecair yang menyebabkan melecur dan bom.

"Dron juga mungkin digunakan untuk melakukan ‘pendaratan kecemasan’ terhadap kumpulan tertentu yang mungkin (disebabkan) rasa tidak puas hati dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Upacara Penutupan Kursus Light Strike Force (LSF) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali dan Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah.

Dalam perkembangkan lain, beliau berkata, sebanyak 17 sekatan jalan raya (SJR) akan dilaksanakan di Melaka termasuk di pintu masuk negeri itu dan laluan tikus sepanjang PRN bagi memastikan tiada pergerakan individu tidak berkenaan masuk ke negeri itu.

"Kita akan memeriksa sijil vaksinasi individu yang masuk ke Melaka dan jika mereka balik mengundi, kita akan periksa sama ada dia merupakan pengundi yang berdaftar di sini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, 17 pasukan LSF melibatkan 159 pegawai dan anggota, 84 anggota Unit Pencegah Rusuhan (PORU) dan 128 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan bersiap sedia menjaga keamanan negeri itu sepanjang tempoh PRN Melaka. - Bernama