Mengapa perlu menolak Bersatu, soal Abdul Hadi

Abdul Hadi menyampaikan ucapan dasar dan perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-67 di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
Abdul Hadi menyampaikan ucapan dasar dan perasmian Muktamar Tahunan Pas ke-67 di sebuah hotel hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas mempersoalkan penolakan UMNO terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedangkan parti itu boleh menjalinkan kerjasama dengan parti bukan Islam sebagai rakan komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penolakan terhadap Bersatu tidak seharusnya berlaku kerana sehingga kini Pas teguh bersama prinsip Muafakat Nasional (MN) yang mahu bekerjasama dengan parti Melayu Islam serta parti bukan Islam yang tidak ekstrem.

"Hala tuju MN ialah kerjasama dengan parti Melayu Islam kemudian mengajak parti-parti bukan Islam yang tidak ekstrem.

"Jika UMNO boleh bekerjasama dengan MCA dan MIC dalam membentuk kerajaan, mengapa tidak boleh bersama Pas dan Bersatu," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar Pas ke-67 di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hala tuju Pas bersama UMNO menerusi gabungan MN selepas Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk bertanding 28 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menyangkal dakwaan bahawa Pas melupakan MN selepas menyertai PN.

Sebaliknya beliau menegaskan, asas penyatuan tiga parti Melayu iaitu Pas, UMNO dan Bersatu sehingga dapat membentuk kerajaan kerajaan Persekutuan wajar dipertahankan.

"Pas berpegang kepada piagam dalam Penyatuan Ummah di mana (piagam) tidak melibatkan Pas dengan UMNO sahaja bahkan turut melibatkan parti lain termasuk Bersatu.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga tidak boleh dipaksa melanggar piagam MN hanya untuk bersama UMNO sahaja dan menolak parti lain," ujarnya.