X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

PRN Melaka: Pas pilih logo PN jika Bersatu, UMNO bertembung

Abdul Hadi (tengah) bersama Takiyuddin (kiri) dan Tuan Ibrahim ketika sidang akhbar selepas ucapan dasar pada Muktamar Pas ke-67 di Kuala Terengganu pada Sabtu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas akan memilih calon yang menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya berlaku pertembungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi satu-satu kerusi.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia berdasarkan keputusan yang telah dipersetujui serta dimuktamadkan bersama sebelum ini.

Beliau berkata, prinsip yang sama akan dikekalkan termasuk sekiranya kerusi penyandang bagi kawasan yang ditandingi sebelum ini adalah milik UMNO.

"Pas mendukung PN dan telah bersetuju untuk memakai simbol PN dalam PRN Melaka. Kita juga akan memilih calon yang menggunakan logo PN.

"Jika kerusi penyandang milik UMNO, kita akan tengok dia pakai simbol apa," katanya ketika sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Pas ke-67 di sini pada Sabtu.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, Pas akan bertanding sekurang-kurangnya satu pertiga daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka supaya berlaku agihan yang adil antara parti dalam PN.

"Kita berpegang pada asas kerjasama. Jika ada parti enggan bekerjasama, terpulang kepada dia. Apabila sebut kerjasama, sudah mestilah berlaku pembahagian kerusi yang adil antara parti-parti, bukan sahaja MN tetapi termasuk PN.

"Terpulanglah kepada UMNO sama ada mahu mengikut PN atau bertanding sendiri," ujar beliau.

Ditanya mengenai keputusan UMNO menampilkan calon bagi semua kerusi dalam PRN Melaka, Abdul Hadi berkata, keputusan dibuat boleh berubah berdasarkan situasi semasa.

Katanya, rundingan antara Pas dan UMNO masih berlangsung bagi mewujudkan kesepakatan dalam PRN Melaka dan keputusan rundingan akan diketahui ketika hari penamaan calon.

"UMNO berubah, bahkan baru-baru ini pun sebahagian ahli Parlimennya menyokong jajaran baharu. Selepas itu pusing balik untuk mengekalkan PN.

"Dalam PRN Melaka nanti pun saya berharap (UMNO) boleh berubah jugalah," katanya.

Barisan Nasional (BN) pada Sabtu mengumumkan seramai 28 calon yang akan bertanding dalam PRN Melaka, sekali gus mengukuhkan keputusan parti itu untuk bertanding secara bersendirian tanpa kerjasama parti lain.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!