TNB buat persiapan awal hadapi bencana banjir

TNB telah mengambil langkah meninggikan tapak pencawang elektrik bagi mengurangkan risiko pencawang ditenggelami dan dirosakkan banjir. Gambar kecil: Wan Nazmy Wan Mahmood
TNB telah mengambil langkah meninggikan tapak pencawang elektrik bagi mengurangkan risiko pencawang ditenggelami dan dirosakkan banjir. Gambar kecil: Wan Nazmy Wan Mahmood
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah membuat persiapan awal berkaitan pengurusan bencana banjir bagi menghadapi musim tengkujuh pada tahun ini.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, langkah awal tersebut diambil bagi memastikan kelancaran pengurusan bencana banjir di samping menyediakan bekalan elektrik yang selamat dan meminimumkan kerosakan pepasangan TNB di kawasan terjejas.

“Lanjutan itu, TNB telah pun mengadakan mesyuarat koordinasi banjir bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah, menjalankan sesi latihan menghadapi banjir dan memastikan anggota kerja teknikal kami berada dalam keadaan siap siaga.

“Set-set janakuasa bergerak serta janakuasa mudah alih dan perkakas kritikal semasa operasi banjir seperti bot, telefon satelit dan lampu limpah juga telah ditempatkan di beberapa lokasi strategik untuk siap sedia digunakan ketika musim tengkujuh.

“TNB juga akan membuka bilik gerakan di negeri yang terbabit banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Wan Nazmy berkata, sejak banjir besar 2014 yang pernah dialami negara, TNB telah mengambil langkah meninggikan tapak pencawang dan membina penghadang banjir di pintu masuk pencawang bagi mengurangkan risiko pencawang ditenggelami dan dirosakkan banjir.

Beliau bagaimanapun memaklumkan, jika ada pencawang elektrik yang masih ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat selepas keadaan selamat.

“Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan segera kami.

Artikel Berkaitan:

“Pasukan Bertindak Kecemasan TNB yang bertugas 24 jam sehari juga akan digerakkan untuk membuat penyambungan semula bekalan elektrik yang terputus akibat pokok tumbang dan sebab lain dengan kadar segera,” ujarnya.

Wan Nazmy turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air dengan mengambil beberapa langkah keselamatan.

Antaranya ialah menjauhi daripada menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap bagi mengelakkan renjatan elektrik dan mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memeriksa pendawaian di premis yang dinaiki air selepas banjir surut.