Pesara polis Tan Sri J J Raj meninggal dunia pada usia 100 tahun

Mendiang Tan Sri JJ Raj
Mendiang Tan Sri JJ Raj
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri J J Raj (Jr) menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Ara Damansara, Petaling Jaya pada pagi Sabtu.

Mendiang yang berumur 100 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) pusat perubatan berkenaan kira-kira jam 1.55 pagi akibat serangan jantung.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi kenyataan pada Sabtu memaklumkan Ketua Polis Negara, Datuk Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim dan seluruh warga PDRM menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga mendiang.

"Mendiang yang terkenal selaku Ketua Polis Daerah Pagoh, Johor pernah mengetuai Skuad Harimau (Tiger Squad) untuk menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong yang diserang pengganas komunis, sewaktu era darurat pada tahun 1950.

"Kemuncak karier mendiang dalam pasukan ialah apabila dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Bukit Aman pada tahun 1974 sebelum menjalani persaraan wajib pada tahun 1976 dengan pangkat Komisioner Polis.

"Sesungguhnya jasa dan bakti yang pernah dicurahkan oleh mendiang sangat besar dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada pasukan dan negara," katanya.

Jasad mendiang akan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Shah Alam untuk diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan orang ramai, petang ini.

Mendiang meninggalkan 4 orang anak serta 3 cucu dan isterinya, Puan Sri Irene Raj meninggal dunia pada 2007.

Artikel Berkaitan: