FAM wajar kekalkan Maloney

Maloney ketika mengendalikan sesi latihan skuad muda negara semasa aksi kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan, baru-baru ini. - Foto Football Association of Malaysia.
Maloney ketika mengendalikan sesi latihan skuad muda negara semasa aksi kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan, baru-baru ini. - Foto Football Association of Malaysia.
A
A
A

KHIDMAT pengendali skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara, Brad Maloney pastinya ditagih ketika ini selepas berjaya membawa skuad negara layak secara automatik ke kejuaraan Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun depan.

Malah pengendali Australia tanpa berselindung memberitahu media baru-baru ini, bahawa beliau sangat berminat untuk kekal mengemudi Harimau Muda itu dan mempunyai keyakinan yang luar biasa terhadap potensi yang dimiliki barisan pemain muda negara.

Bagi Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan, beliau berpandangan tiada sebab untuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tidak menyambung kontrak Maloney yang akan berakhir pada hujung tahun ini.

Sathianathan
Sathianathan

Justeru bekas pengendali skuad kebangsaan itu berharap, FAM perlu segera berbincang untuk mengekalkan Maloney selepas persembahan yang hebat ditampilkan pasukannya pada kelayakan Piala Asia B-23 tempoh hari.

“Saya lihat tidak ada sebab untuk FAM untuk tidak kekalkan Maloney bagi melatih skuad muda negara selepas menampilkan prestasi yang hebat pada aksi kelayakan tempoh hari.

“Sebab berdasarkan pengalaman saya FAM selalunya akan kekalkan jurulatih yang berjaya melakukan tugasnya dengan baik.

“Tapi itu semua terpulang kepada perbincangan antara dia (Brad Maloney) dan FAM kerana mereka tahu apa yang sesuai buat skuad negara,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, skuad kendalian Maloney berjaya muncul juara Kumpulan J pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbatar, Mongolia selepas menewaskan Laos dan tuan rumah, Mongolia, 1-0 sebelum terikat tanpa jaringan dengan Thailand untuk mengumpulkan tujuh mata daripada tiga perlawanan.

Mengulas lanjut Sathia berkata, beliau turut kagum dengan aksi yang ditampilkan skuad B-22 meskipun berhadapan dengan tekanan yang tinggi dalam ketiga-tiga perlawanan terutamanya ketika berdepan Mongolia sebelum ini.

Malah Jelasnya, taktikal yang diguna pakai oleh Maloney bertepatan dengan DNA pasukan bola sepak negara seperti yang diumumkan dalam Peta Hala Tuju (Roadmap) F:30 FAM.

“Saya kagum dengan persembahan skuad muda negara, meskipun berdepan tekanan mereka berjaya kawal sehingga dapat elak daripada dilayangkan kad merah. Ini sesuatu yang harus dipuji.

“Kalau kita lihat Maloney ketika ini, dia seakan menyuntik aura positif dalam skuad negara, di mana dia mengajar anak buahnya untuk menghormati lawan seperti yang kita lihat waktu lawan Mongolia.

“Malah taktikal yang diguna Maloney ketika ini, 3-4-3 kadangkala 3-5-2 sangat bertepatan dengan DNA bola sepak negara yang diumumkan dalam Roadmap F-30. Jadi saya rasa Maloney layak untuk bawa cabaran negara di Uzbekistan,” katanya.