Tabika Kemas terima anugerah Trusted Brand Of The Year 2020

Mahdzir (tengah) menyaksikan penyampaian anugerah Trusted Brand of The Year 2020 bagi kategori Pusat Pembelajaran Prasekolah Pilihan Pengguna di Malaysia oleh Reader’s Digest kepada wakil Kemas.
Mahdzir (tengah) menyaksikan penyampaian anugerah Trusted Brand of The Year 2020 bagi kategori Pusat Pembelajaran Prasekolah Pilihan Pengguna di Malaysia oleh Reader’s Digest kepada wakil Kemas.
A
A
A

BANGI - Tabika Kemas menerima Anugerah ‘Trusted Brand of The Year 2020’ (Jenama Paling Dipercayai) bagi kategori Pusat Pembelajaran Prasekolah Pilihan Pengguna di Malaysia oleh Reader’s Digest membuktikan institusi pendidikan itu setaraf tabika swasta.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, anugerah itu juga membuktikan tenaga pengajar dan sistem pembelajaran Tabika Kemas diiktiraf terbaik.

“Tabika Kemas sekali lagi mengulangi kegemilangannya pada tahun 2017, setelah dianugerahkan Jenama Paling Dipercayai oleh rakyat Malaysia pada tahun 2020 dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

“Pengiktirafan ini adalah berdasarkan undian secara dalam talian yang dijalankan oleh pihak Reader’s Digest kepada hampir 8,000 orang responden mengenai pandangan mereka terhadap sistem pendidikan prasekolah di Malaysia.

“Aspek kualiti, inovasi, mutu dan tanggungjawab sosial, kebolehpercayaan, kredibiliti, kefahaman kehendak pengguna, menjadi kriteria yang ditetapkan oleh Reader’s Digest dalam keputusan kajian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak Jabatan Kemajuan Masyarakat Tahun 2021 di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pengiktirafan itu juga susulan pelancaran Pelan Kualiti Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kemas pada tahun 2018 yang menggariskan sembilan strategi utama.

Antaranya ialah menaik taraf premis tabika dan taska Kemas, penambahbaikan kurikulum dan ko-kurikulum, peningkatan tahap profesionalisme guru dari aspek penggunaan kepada bahasa Inggeris serta meningkatkan penglibatan ibu bapa dan masyarakat dalam aktiviti pendidikan awal kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

“Kita telah memperuntukkan bajet sebanyak RM9.5 juta untuk membaik pulih dan menaik taraf bangunan tabika dan taska Kemas demi untuk memberikan keselesaan kepada kanak-kanak untuk mengikuti pembelajaran.

“Kerajaan sentiasa menyedari kepentingan pendidikan prasekolah sejak awal usia bagi membentuk asas jati diri dan sahsiah anak-anak dalam pembangunan masa depan negara,” jelasnya.

Anugerah itu tambah beliau, adalah kesinambungan daripada pengenalan Program Transformasi Tabika Berprestasi Tinggi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada tahun 2016.

Sementara itu, 418 pelatih berjaya menamatkan latihan dan menerima Sijil Kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK) Kemas pada tahun ini.

Seramai 6,693 orang Pendidik Masyarakat Tabika Kemas dan Taska Permata Kemas telah mengikuti kursus SPAK dari tahun 2009 hingga 2021.