ST serbu empat gudang, rampas barang elektrik RM2 juta

Suruhanjaya Tenaga
Suruhanjaya Tenaga
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Tenaga (ST) merampas pelbagai peralatan elektrik bernilai kira-kira RM2 juta dalam serbuan di empat gudang di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor pada Selasa lepas kerana disyaki mengedar peralatan elektrik yang tidak mendapat kelulusan.

Pengarah Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST, Mohd Elmi Anas berkata, serbuan dibuat susulan aduan mengenai penjualan kelengkapan elektrik yang menggunakan label SIRIM palsu di pasaran serta dalam talian.

Beliau berkata, kelengkapan elektrik seperti kabel pendawaian pelbagai saiz, lampu LED, soket alir keluar dan adapter elektrik itu dirampas kerana gagal mematuhi keperluan undang-undang seperti tidak mempunyai Perakuan Kelulusan mengimport atau mengilang dari ST sebelum ia dibawa masuk atau dikilang.

"Peralatan elektrik yang dirampas itu juga tidak dilekatkan dengan label SIRIM-ST serta menggunakan label SIRIM-ST palsu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, tindakan undang-undang akan diambil ke atas pengimport, pengilang atau penjual yang didapati gagal mematuhi Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.

Bagi kes pemalsuan label, tindakan undang-undang akan diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), katanya.

"Pihak pengimport, pengilang dan penjual kelengkapan elektrik pula perlu mematuhi perundangan negara ini dan memastikan hanya kelengkapan elektrik yang telah diperakui selamat, dijual di premis jualan ataupun dalam talian," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: