PRN Melaka: Agihan kerusi BN, PN dimuktamad sebelum penamaan calon

Takiyuddin (kiri) ketika sidang media sempena Muktamar Tahunan Pas ke-67 di Kuala Terengganu pada Khamis.
Takiyuddin (kiri) ketika sidang media sempena Muktamar Tahunan Pas ke-67 di Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agihan kerusi Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon Isnin ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, rundingan berhubung perkara itu masih berlangsung bagi mengelak pertembungan tiga penjuru antara UMNO, Pas dan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, perbincangan mengenai perkara itu masih dijalankan bagi mewujudkan keharmonian antara ketiga-tiga parti utama.

"Berkenaan agihan kerusi, saya masih belum boleh umumkan kerana belum ada ketetapan muktamad namun Pas masih berusaha mendamaikan BN dan PN sebelum hari penamaan calon.

"Dalam politik pilihan raya, setengah jam sebelum penamaan calon ditutup, masih boleh berunding lagi. InsyaAllah, kami yakin dan optimis mampu mencapai persefahaman bersama parti-parti dalam kerajaan," katanya dalam sidang media sempena Muktamar Tahunan Pas ke-67 di sini pada Khamis.

Takiyuddin berkata, Pas kekal dengan sikap toleransi dan setia kawan dalam soal pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dalam PRN Melaka.

"Kami yakin gabungan BN dan PN mampu meraih kejayaan dua pertiga dalam pilihan raya itu jika ketiga-tiga parti mencapai persefahaman.

"Di Melaka ada 28 kerusi DUN. Jika ada muafakat, kita hanya memerlukan 19 kerusi untuk memenangi dua pertiga daripada kerusi yang dipertandingkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Isnin lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi mesyuarat Jawatankuasa parti itu meluluskan penggunaan lambang PN dalam PRN Melaka yang akan berlangsung pada 20 November ini.