'Masih ramai lagi rakyat dilihat daif'

Mohd Shafie pada program Eksklusif bersama Shafie Apdal: Relevankah Warisan di Semenanjung menerusi semua platform Sinar Harian pada Rabu. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohd Shafie pada program Eksklusif bersama Shafie Apdal: Relevankah Warisan di Semenanjung menerusi semua platform Sinar Harian pada Rabu. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berpandangan bahawa masih ramai lagi rakyat di peringkat akar umbi yang dilihat daif.

Menurutnya, keadaan rakyat yang daif itu meliputi dari segi makanan, kehidupan, ilmu dan kesihatan mereka.

“Negara kita dilihat berada jauh ketinggalan berbanding dengan negara lain.

“Malahan kita dapat melihat perbelanjaan duit yang begitu besar, tetapi kita dapat melihat ramai lagi rakyat di peringkat akar umbi yang begitu daif.

“Daifnya bukan hanya dari segi kehidupan dan makanan, tetapi daif dari segi ilmu serta kesihatan mereka yang tidak mempunyai ‘accessibility’ (kemudahan),” katanya.

Beliau berkata demikian pada program 'Bersama Shafie Apdal: Relevankah Warisan di Semenanjung?' yang dihoskan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, banyak ketirisan yang dilihat berlaku pada perbelanjaan negara.

Menurutnya, perkara itu amat membimbangkan kerana negara bukan sahaja menanggung hutang, malah membelanjakan peruntukan yang besar.

Artikel Berkaitan:

“Kapal ronda kita belanja RM6 bilion, sampai hari ini satu kapal ronda pun tidak dibekalkan kepada TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia).

“Bayangkan peruntuk projek RM279 juta dah bagi ‘extended’ (dipanjangkan) lima tahun tetapi tidak sedia projek itu. Ia satu pembaziran tetapi kita masih melihat perbelanjaan yang begitu besar,” katanya.