‘Guna logo PN tidak putuskan hubungan dalam Muafakat Nasional'

Nasrudin
Nasrudin
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Pas untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak akan memutuskan hubungan dalam Muafakat Nasional (MN), kata Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nasrudin Hassan.

Beliau berkata, langkah tersebut merupakan satu langkah ijtihad politik semasa Pas bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH) dan memastikan negeri tersebut tidak jatuh ke tangan gabungan berkenaan.

“UMNO yang akan bertanding atas logo Barisan Nasional BN akan membawa bersama kekuatan MCA dan MIC, sementara Pas yang memilih untuk bertanding atas logo PN pula akan membawa bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bergandingan dalam pilihan raya bagi menghalang kemaraan PH.

“Meskipun umum telah mengetahui bahawa UMNO masih tidak boleh menerima Bersatu, demikian juga sebaliknya. Namun ‘gelang kerjasama’ boleh dijalin menerusi MN yang akan merangkumi BN dan PN,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Pada Isnin, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memutuskan bahawa parti itu akan akan menggunakan lambang PN bagi menghadapi PRN Melaka pada 20 November ini.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, pakatan pilihan raya atau ‘electoral pact’ boleh diuruskan dengan mengekalkan kerjasama bagi memastikan tidak berlaku pertanding tiga penjuru pada PRN tersebut.

“Pembahagian kerusi secara pintar mesti dilakukan dengan harmoni antara BN dan PN agar menjadi satu pasukan kuat mendepani PH,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: