Atlet Sarawak Bonnie terima RM500,000, Yee Khie RM300,000

Bonnie (kiri) dan Yee Khie adalah dua daripada lima atlet paralimpik Sarawak yang mewakili Malaysia berjaya memenangi pingat di Sukan Paralimpik Tokyo 2020. - Foto fail/Bernama
Bonnie (kiri) dan Yee Khie adalah dua daripada lima atlet paralimpik Sarawak yang mewakili Malaysia berjaya memenangi pingat di Sukan Paralimpik Tokyo 2020. - Foto fail/Bernama
A
A
A

DUA atlet paralimpik negara dari Sarawak yang memenangi pingat emas dan perak di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada 24 Ogos sehingga 5 September 2021 di Tokyo, Jepun, menerima insentif kewangan daripada kerajaan Sarawak.

Bonnie Bunyau Gustin yang memenangi pingat emas dan berjaya memecah rekod acara kejohanan menerima wang tunai RM500,000, sementara Jong Yee Khie yang meraih perak, menerima RM300,000.

Kadar insentif RM500,000 untuk emas dan RM300,000 untuk perak itu adalah 50 peratus daripada nilai yang diberi oleh kerajaan pusat.

Bonnie dan Yee Khie adalah dua daripada lima atlet paralimpik Sarawak yang mewakili Malaysia berjaya memenangi pingat di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyampaikan insentif itu kepada kedua-dua atlet berkenaan, di sini pada Selasa.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Abdul Karim berkata, pemberian insentif daripada kerajaan Sarawak itu adalah sebagai menghargai perjuangan dan pencapaian kedua-dua atlet berkenaan.

Memuji kegigihan serta pencapaian kedua-dua atlet berkenaan, beliau menasihati mereka agar tidak mudah mengalah dan sentiasa bermotivasi untuk menghadapi mana-mana penyertaan sukan di masa hadapan.

Beliau turut berharap kedua-dua atlet itu akan mengharumkan nama Malaysia dan Sarawak khasnya sekali lagi di Kejohanan Powerlifting Dunia di Georgia, Rusia pada 27 November ini.

Artikel Berkaitan:

Bonnie dan Jong ketika ditemui masing-masing berasa gembira dan berterima kasih kepada kerajaan Sarawak atas insentif yang diberikan. - Bernama