Bunuh Zulfarhan: Enam penuntut UPNM dijel 18 tahun

Seramai enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terlepas hukuman gantung sampai mati apabila didapati bersalah di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, atas tuduhan menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh terhadap Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain. Foto Bernama
Seramai enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terlepas hukuman gantung sampai mati apabila didapati bersalah di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, atas tuduhan menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh terhadap Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, atas tuduhan mencederakan tanpa niat membunuh terhadap Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu.

Enam tertuduh ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Dalam pada itu, lima daripada enam tertuduh (kecuali Mohamad Shobirin) dikehendaki menjalani hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Bagaimanapun, ketika membaca keputusan penghakimannya, Hakim Datuk Azman Abdullah berkata, hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap iaitu 1 Jun 2017.

Sementara itu, mahkamah juga menjatuhi hukuman penjara tiga tahun terhadap 12 yang lain yang sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba.

Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Mahkamah memerintahkan hukuman tersebut dijalankan bermula hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: