Generasi pertama Felda tak sokong PH: Mazlan

 Mazlan menyampaikan barangan makanan kepada peneroka generasi pertama Felda Ulu Tebrau di sini, hari ini.
Mazlan menyampaikan barangan makanan kepada peneroka generasi pertama Felda Ulu Tebrau di sini, hari ini.
A
A
A

ULU TIRAM - ADUN Puteri Wang, Mazlan Bujang akui PH sukar mendapat sokongan generasi pertama Felda dalam PRU14 lalu.

Menurutnya, sokongan padu untuk PH hanya daripada generasi ketiga Felda.

"Generasi ketiga tak ada masalah, majoriti sokong PH manakala generasi kedua di tengah-tengah.

"Saya buat analisa peti undi PRU lepas dan dapati tiada undi generasi pertama Felda untuk saya, memang susah," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Generasi Pertama Bersama Pemimpin di Felda Ulu Tebrau, hari ini.

Beliau turut memaklumkan tewas di peti undi Felda Ulu Tebrau dan Sinaran Baru.

"Orang tanya saya kenapa YB nak buat program di tempat yang YB kalah? Saya kalah di sini, Felda Ulu Tebrau dan Sinaran Baru tapi saya di sini menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

"Apabila saya dipilih sebagai wakil rakyat lebih-lebih lagi dilantik sebagai exco kerajaan negeri, jadi sudah tentu tanggungjawab saya bukan kawasan Putri Wangsa sahaja, saya menjaga satu negeri Johor," katanya.

Ketika ditanya sambutan peneroka terhadap kehadiran keduanya di kawasan Felda itu, Mazlan akui tidak bimbang penerimaan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak bimbanglah sebab darah kita sama, syahadah sama. Saya pun tak marah (kalah di Felda Ulu Tebrau), tak apa. Kerana saya memahami, ada orang kurang dapat maklumat yang baik. Generasi muda dapat maklumat yang lebih baik. Media sekarang pun lebih neutral," katanya.

Dalam program tersebut, beliau menyampaikan 300 pek barangan makanan kering kepada generasi pertama Felda Ulu Tebrau.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) hasil kerjasama Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan kerajaan negeri itu menyasarkan untuk meningkatkan kehidupan golongan kurang mampu.

"Kita faham dalam keadaan ekonomi sekarang di mana harga buah sawit merudum, salah satu pihak yang terkesan ialah peneroka Felda.

"Program sebegini sekurang-kurangnya kita dapat empati dengan yang dilalui peneroka," katanya.

Menurutnya, Kerajaan Pusat terus berusaha mencari inisiatif menaikkan harga buah sawit.

"Sebab itu kerajaan tidak sepenuhnya fokus pada harga buah sawit. Kita kena cari tanaman alternatif komoditi yang dapat beri hasil lebih baik.

"Menteri umum tanaman buluh, ia bukan sahaja untuk buat perabot tapi juga untuk menghasilkan kertas menggunakan teknologi baharu," katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Johor akan turut membantu Kerajaan Pusat dalam hal tersebut.