Kerajaan diminta teliti semula penyertaan dalam CPTPP: Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta meneliti dan mengkaji semula penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi memelihara kepentingan pelbagai pihak dalam negara, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, penyertaan Malaysia dalam CPTPP dilihat akan menjejaskan beberapa perkara seperti kepentingan pekerjaan, dasar tindakan pengukuhan, proses pemerolehan dalam kerajaan, serta harta intelek (IP).

"Kita mesti jaga kepentingan negara dari segi pemerolehan, IP dan tindakan afirmatif ini kerana ini adalah bidang yang kita patut bantu rakyat sama ada bumiputera atau bukan bumiputera yang memerlukan bantuan kita.

"Saya harap hal-hal seperti ini akan diteliti semula walaupun CPTPP ini adalah urusan kementerian lain (selain Kementerian Kewangan), namun ia harus diputuskan dalam kabinet," katanya semasa perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sementara itu, Anwar turut membangkitkan isu penubuhan Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) dalam pelaksanaan 5G di Malaysia yang diterajui oleh Digital Nasional Bhd yang didakwa masih kabur dan kurang penjelasan.

"Yang penting proses tender harus ada dan telus. Kita hendak tahu syarikat mana yang terlibat, ejen mana yang terlibat kerana ini harus dimaklumkan kepada rakyat," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: