PM Macedonia Utara, Zoran Zaev umum letak jawatan

Zoran Zaev. - Foto DW
Zoran Zaev. - Foto DW
A
A
A

SKOPJE - Perdana Menteri Macedonia Utara, Zoran Zaev mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri dan pengerusi parti Kesatuan Demokratik Sosial Macedonia (SDSM) selepas kekalahan parti itu pada pusingan kedua pilihan raya tempatan, lapor Xinhua.

Zaev dalam satu sidang akhbar pada Ahad berkata, beliau bertanggungjawab atas kekalahan teruk parti pimpinannya dalam pilihan raya tempatan itu.

Pilihan raya tempatan itu melibatkan 44 majlis perbandaran di seluruh negara.

Keputusan awal pilihan raya pusingan kedua itu menunjukkan calon parti pembangkang utama VMRO-DPMNE mendahului parti-parti lain yang bertanding.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri (SEC), peratusan keluar mengundi kali ini sebanyak 48.61 peratus atau 640,076 pengundi daripada lebih 1.33 juta pengundi berdaftar.

SEC dijangka mengumumkan keputusan rasmi dalam tempoh 12 jam, menurut media tempatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: