Pemandu maut, kereta terbabas ketika cuba potong lori balak

Kereta dipandu mangsa yang melanggar pembahagi jalan selepas terbabas di KM 357.5 Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2, Dungun pada Ahad.(Gambar kecil:Baharudin)
Kereta dipandu mangsa yang melanggar pembahagi jalan selepas terbabas di KM 357.5 Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2, Dungun pada Ahad.(Gambar kecil:Baharudin)
A
A
A

DUNGUN - Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terlanggar belakang sebuah lori balak ketika memotong kenderaan berat tersebut sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer (KM) 357.5 Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, Chow Soon Khong, 21, yang memandu kereta Jenis Toyota Camry 2.0 dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

"Setibanya di lokasi, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah lori balak jenis Volvo FMX440 yang ketika itu sedang bergerak di lorong kiri lebuh raya dari arah yang sama.

"Bagaimanapun, dalam cubaan memotong, kereta dipandu mangsa terlanggar belakang kenderaan berat tersebut, sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan lebuh raya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Lori membawa muatan penuh kayu balak yang cuba dipotong mangsa di lokasi. - Foto ihsan PDRM
Lori membawa muatan penuh kayu balak yang cuba dipotong mangsa di lokasi. - Foto ihsan PDRM

Baharudin berkata, mangsa yang juga kakitangan swasta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kenderaan berat berusia 24 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: