Polis Marin perlu 5 lagi bot ronda

Bot Ronda FAC Kelas PC baharu yang diterima PPM.
A
A

LUMUT - Pasukan Polis Marin (PPM) memerlukan lima buah bot ronda Fast Assault Craft (FAC) Kelas PC dalam memenuhi keperluan penugasan melibatkan kawasan perairan yang mencabar serta luas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, buat masa ini terdapat enam buah bot ronda kelas PC termasuk dua buah yang diterima PPM, hari ini.

"Penambahan aset bot ronda kelas PC ini masih diperlukan dan amat mustahak bagi memenuhi keperluan penugasan yang semakin mencabar serta melibatkan jumlah keluasan 159,167 kilometer persegi meliputi Semenanjung serta Sabah dan Sarawak dengan jarak sehingga 12 batu nautika dari pantai.

"Kerana itu kami berharap pada masa akan datang pihak kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menambah peruntukkan serta jumlah bot ronda seperti ini kepada PPM" katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bot Ronda Fast Assault Craft (FAC) Kelas PC (PC 31 & 32) bagi pasukan Polis Marin PDRM di UNIKL-MIMET, Lumut, di sini hari ini.

Menurutnya, jika permohonan lima buah bot berkenaan diluluskan pihaknya merancang untuk menempatkannya di tiga lokasi melibatkan negeri Kelantan, Sarawak dan Sabah.

"Jika kita dapat lima lagi buah bot jenis ini, kami bercadang untuk menempatkan sebuah di Markas Operasi PPM Wilayah 3, Pengkalan Kubor serta di Miri dan tiga buah lagi di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Acryl Sani (tengah) menekan bulatan sebagai simbolik merasmikan PC 31 & PC 32 milik PPM, hari ini.
Acryl Sani (tengah) menekan bulatan sebagai simbolik merasmikan PC 31 & PC 32 milik PPM, hari ini.

"Apa yang penting jika PPM berjaya menambah lima buah lagi bot jenis ini bererti kita mempunyai eset yang lebih efektif dan efisien dalam membantu pasukan melibatkan penugasan di kawasan perairan," katanya.

Acryl Sani berkata, bot ronda Kelas PC atau dalam pengkelasan baru PPM, Police Fast Patrol Craft ini adalah bot ronda berkelajuan tinggi generasi baru yang mampu mencapai kelajuan tidak kurang 45 knot.

"Ia amat sesuai untuk tugas kejar mengejar dan memintas bot penjenayah atau penceroboh serta menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas kapal selain mempunyai kelebihan dari segi kapasiti bekalan bahan api dan air yang besar," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, penyerahan dua bot hari ini kepada Polis Marin PDRM di UNIKL-MIMET adalah tambahan kepada empat buah bot ronda kelas sama sedia ada milik pasukan tersebut.

"Projek pembinaan dua buah bot FAC Kelas PC ini adalah projek yang diluluskan menggunakan peruntukan RMK11, Rolling Plan Kedua di bawah Kementerian Dalam Negeri dengan nilai kontrak RM23.2 juta.

"Penempatan bot ronda baru ini ditetapkan iaitu PC 31 di Markas Operasi PPM Wilayah 2, Muar, Johor, manakala PC 32 pula ditempatkan di Markas Operasi PPM Wilayah 1, Pelabuhan Klang, Selangor," katanya.