PRN Melaka: Pemuda Pas mahu peluang sama rata

Ahmad Fadhli (duduk, kiri) pada sidang akhbar selepas muktamar Dewan Pemuda Pas di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Ahmad Fadhli (duduk, kiri) pada sidang akhbar selepas muktamar Dewan Pemuda Pas di sebuah hotel di sini pada Ahad.
A
A
A

PORT DICKSON - Pemuda Pas mahu peluang diberikan sama rata kepada semua parti untuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya menghormati prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan negara masih berdepan pandemik Covid-19.

"Kita yakin dengan kempen dalam suasana baru khususnya melalui media massa ini adalah satu kempen cukup berkesan buat masa ini.

"Tapi kita mahu biarlah padangnya sama rata. Jika pembangkang tidak diberi ruang untuk berkempen secara bersemuka, begitu juga dengan lain.

"Kami mahu bertarung atas padang yang sama. Kami tidak suka bertarung atas padang yang berat sebelah," katanya pada sidang akhbar selepas muktamar Dewan Pemuda Pas di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Menurutnya, meskipun Pas kini berada di pihak kerajaan, namun pihaknya percaya SOP yang diumumkan oleh KKM itu meliputi semua pihak.

Ujarnya, ia terbukti apabila UMNO sebagai parti kerajaan telah dikompaun baru-baru ini kerana melanggar SOP Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PRN) dengan mengadakan majlis pelancaran jentera PRN Melaka di World Trade Center Kuala Lumpur (PWTC).

"Saya yakin kempen di PRN Melaka ini akan dijadikan penanda aras baru bahawa boleh dilaksanakan kempen dengan tidak bersemuka.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin jika ia berjaya dilaksanakan pada PRN Melaka ini, ia juga boleh dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya.

Dalam pada itu ditanya berkenaan soal calon, beliau berkata, Pemuda Pas telah meluluskan usul mahu 50 peratus calon yang dibariskan oleh Pas pada PRU15 terdiri daripada golongan muda berusia 40 tahun ke bawah.

"Walaupun kita tiada senarai terperinci, tapi kita sentiasa bersedia. Dalam erti kata jika esok penamaan calon, malam ini kita boleh bekalan senarai calon,"katanya