PRN: 10,000 anggota PDRM bertugas diberi vaksin penggalak

Mazlan (dua dari kanan) menyampaikan wang tunai kepada pesara polis, Hamzah Daud, 67, (kiri) sambil diperhatikan Shafien (tiga dari kanan) pada majlis di IPK Kelantan, Kota Bharu pada Ahad.
Mazlan (dua dari kanan) menyampaikan wang tunai kepada pesara polis, Hamzah Daud, 67, (kiri) sambil diperhatikan Shafien (tiga dari kanan) pada majlis di IPK Kelantan, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 10,000 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Melaka dan Sarawak akan diberikan dos ketiga atau dos penggalak vaksin Covid-19 sebagai persediaan untuk bertugas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di kedua-dua negeri terbabit.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, keutamaan diberikan terhadap kumpulan pertama di dua negeri tersebut sebagai langkah pencegahan bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 semasa pelaksanaan PRN.

Beliau berkata, senarai nama barisan hadapan yang akan bertugas di PRN Melaka dan Sarawak sudah dihantar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk urusan suntikan vaksin penggalak tersebut.

“Kita sudah membuat permohonan kepada KKM untuk mendapatkan vaksin penggalak kepada lebih 10,000 anggota dan pegawai PDRM. Ia membabitkan kira-kira 3,600 anggota di Melaka dan 7,000 anggota di Sarawak.

“Buat masa ini, PDRM menunggu kelulusan daripada KKM. Suntikan dijangka akan diberikan dalam tempoh terdekat sebelum pelaksanaan PRN Melaka serta Sarawak tertakluk kepada arahan semasa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Ahad.

Mazlan sebelum itu mengadakan lawatan kerja rasmi dan menyerahkan sebanyak 34 kenderaan Toyota Hilux GS Cargo dan Van Go Auto Higer ACE kepada Kontinjen Kelantan.

Hadir menerima serahan tersebut ialah Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Pada majlis sama, Mazlan turut menyampaikan Kotak Prihatin kepada 40 pesara dan balu anggota IPK Kelantan serta agihan wang tunai RM300 kepada setiap penerima menerusi Tabung Wakalah Zakat PDRM.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mazlan berkata, keseluruhan 120,000 keanggotaan PDRM di seluruh negara akan diberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 secara berperingkat tertakluk kepada arahan semasa.

Dalam perkembangan lain, Mazlan turut menggesa pesara polis dan anggota yang menghadapi masalah kewangan termasuk akibat Covid-19 supaya membuat permohonan bantuan menerusi Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP).

“Bantuan yang disediakan mengikut lima kategori tuntutan iaitu Bantuan Pengurusan Jenazah sebanyak RM1,500 selain Bantuan Pergerakan termasuk peralatan diperlukan untuk bergerak seperti kerusi roda (RM1,000) dan Bantuan Perubatan (RM5,000).

“Mereka yang menghadapi masalah kewangan untuk pendidikan anak-anak juga boleh memohon di bawah Bantuan Pendidikan berjumlah RM3,000 manakala bagi bencana alam Bantuan Bencana Alam disediakan dengan jumlah maksimum RM10,000,” katanya.