Semua Parlimen disaran tubuh CDERT

Mastura menyempurnakan majlis pelancaran dan penubuhan CDERT Keluarga Malaysia Kuala Kangsar di Lanai Casuarina, di sini pada Sabtu.
Mastura menyempurnakan majlis pelancaran dan penubuhan CDERT Keluarga Malaysia Kuala Kangsar di Lanai Casuarina, di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Semua kawasan Parlimen disaran menubuhkan Pasukan Tindakbalas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Angkatan Pertahanan Awam (APM) masing-masing.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid berkata, penubuhan CDERT ini dilihat penting sebagai pasukan yang akan memberikan bantuan awal sebelum pasukan penyelamat tiba di kawasan bencana atau berlaku kes kecemasan.

Menurutnya, kejayaan pelaksanaan dan fungsi CDERT yang diperkenalkan sebelum ini menjadi antara pendorong idea penubuhan CDERT di peringkat Parlimen.

"Saya berharap setiap kawasan Parlimen menubuhkan CDERT kerana setiap daerah mempunyai APM. Ahli-ahli Parlimen boleh menggerakkan inisiatif ini dan berhubung dengan APM di daerah masing-masing.

"Penubuhan CDERT ini akan membawa komuniti untuk bekerjasama dengan agensi terutama melibatkan usaha berkaitan bencana dan kecemasan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran dan penubuhan CDERT Keluarga Malaysia Kuala Kangsar di Lanai Casuarina, di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah APM Perak, Noor Azam Johari.

Mastura berkata, pelancaran dan penubuhan CDERT berkenaan memandangkan bulan Oktober merupakan Bulan Kesiapsiagaan Nasional seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu, Perdana Menteri sebelum ini turut berpandangan setiap rakyat dan komuniti harus bersiap sedia selain agensi terlibat berdepan bencana.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, difahamkan selain Kuala Kangsar, CDERT di peringkat Parlimen turut ditubuhkan serentak pada Sabtu di Bera dan Penampang manakala CDERT bagi Parlimen Jerantut akan dilancarkan pada Ahad.

CDERT yang ditubuhkan sejak 16 Mac 2006 sehingga kini telah membentuk 207 pasukan yang terdiri daripada komuniti, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta di seluruh negara.