Kerajaan kenal pasti lokasi, atasi kadar kemiskinan di Sabah

Mustapa (kiri) menyerahkan buku RMK12 kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selepas sesi Roadshow Pasca RMK12 di SICC Kota Kinabalu pada Sabtu.
Mustapa (kiri) menyerahkan buku RMK12 kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selepas sesi Roadshow Pasca RMK12 di SICC Kota Kinabalu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan akan mengenal pasti dua lokasi di Sabah untuk diberi perhatian bagi melaksanakan projek meningkatkan pendapatan sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Sabah merupakan negeri yang mempunyai kadar kemiskinan yang tertinggi di negara ini.

"Maka salah satu daripadanya diberi perhatian adalah kaedah-kaedah baharu bagaimana boleh kita tangani isu kemiskinan menjelang 2025 ini, miskin tegar nak dihapuskan dan kadar kemiskinan dapat dikurangkan.

"Sehubungan itu, kita mempunyai kerjasama dengan kerajaan negeri untuk kenal pasti dua kawasan di negeri ini di mana kita akan gunakan pendekatan baharu dengan melibatkan kerajaan Pusat dan negeri untuk membangunkan kawasan berkenaan dan tumpuan utama ialah melaksanakan projek yang mampu meningkatkan pendapatan," katanya pada sidang akhbar selepas sesi Roadshow Pasca Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Sabtu.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan dengan Pejabat Ketua Menteri bagi mengenal pasti dua kawasan berkenaan selain turut melibatkan sektor swasta dalam usaha membasmi kemiskinan di negeri ini.

"Dalam ucapan belanjawan semalam (Jumaat), Menteri Kewangan turut menggesa bukan sahaja syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tetapi juga swasta untuk lebih terlibat dalam usaha membasmi kemiskinan," katanya.

Mustapa berkata, kerajaan juga akan menubuhkan satu pasukan di peringkat Pusat dengan kerajaan negeri bagi berkongsi cadangan di bawah Sabah Maju Jaya (SMJ) umpamanya, supaya hasrat untuk melonjakkan kadar pertumbuhan bagi negeri Sabah dan Sarawak dapat dijayakan.

"Kalau tidak dilonjakkan pencapaian kadar pertumbuhan itu, maka gagallah kita dalam usaha merapatkan jurang pembangunan antara negeri-negeri dalam Malaysia ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Mustapa memaklumkan, tujuan siri jelajah RMK12 itu diadakan untuk mendapat maklum balas daripada negeri berhubung perancangan yang ditetapkan kerajaan.