KKM cadang laksana perolehan ubat antiviral

Kenyataan Media KKM
Kenyataan Media KKM
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk melaksanakan perolehan ubat antiviral yang didapati berkesan terhadap pelbagai virus termasuk pandemik Covid-19.

Menterinya Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Bajet 2022 yang dibentangkan pada Jumaat menyaksikan peruntukan kepada KKM meningkat sebanyak 1.5 peratus kepada RM32.41 bilion berbanding RM31.94 bilion pada 2021.

“Peruntukan pengurusan menyaksikan peningkatan sebanyak 2.96 peratus kepada RM28.03 bilion berbanding tahun sebelumnya.

“Sebahagian besar daripada jumlah tersebut adalah untuk program perubatan iaitu sebanyak RM11.64 billion (42 peratus) dan Program Kesihatan Awam iaitu RM5.22 bilion (19 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, sebanyak RM4.38 bilion telah diluluskan di bawah Peruntukan Pembangunan merangkumi projek pembangunan fasiliti kesihatan fizikal, termasuk membina hospital dan klinik baharu serta menaik taraf, mengubah suai dan membaik pulih fasiliti kesihatan sedia ada.

“Ia turut merangkumi projek pembangunan bukan fizikal dan juga perolehan peralatan perubatan serta bukan perubatan,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, KKM menyambut baik peluasan skop pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan.

Menurutnya, ia meliputi kos khidmat konsultasi pakar psikiatri, ahli psikologi klinikal dan kaunselor yang berdaftar bagi menggalakkan individu yang terkesan tampil mendapatkan bantuan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, RM2 billion diperuntukkan untuk memperkasakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Sehingga kini, kerajaan telah menandatangani perjanjian untuk mendapatkan 88 juta dos iaitu bersamaan lebih 140 peratus penduduk dan cukup untuk memberi dos ketiga kepada semua penduduk berusia 12 tahun dan ke atas.

“Sejumlah RM2 billion lagi diperuntukkan bagi meningkatkan kapasiti fasiliti perkhidmatan kesihatan awam seperti pembelian bekalan ubat, bahan guna habis, pakaian perlindungan diri (PPE) dan kit kesihatan.

Dalam pada itu, ujarnya, melalui Bajet 2022 itu juga, KKM akan meneruskan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan mempertingkatkan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan awam melalui kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John Ambulance.

Jelasnya, ia bagi meningkatkan akses, capaian dan respons perkhidmatan ambulans kepada rakyat.

“Selaras dengan ANMS, KKM menyambut baik peluasan duti eksais ke atas produk minuman bergula dalam bentuk pracampuran berasaskan coklat atau koko, malt, kopi dan teh dan pelaksanaan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

“KKM juga berterima kasih kepada Kementerian Kewangan (MoF) atas peruntukan RM20 juta kepada Malaysia Healthcare Travel Council bagi membantu usaha pemulihan industri pelancongan kesihatan antarabangsa, sekaligus memantapkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan kesihatan,” jelasnya.