Seorang ditahan, tujuh lagi diburu kerana merusuh

Salah seorang individu yang dibelasah daripada kumpulan lelaki yang merusuh di luar premis pusat hiburan di Cyber City, Kota Kinabalu.
Salah seorang individu yang dibelasah daripada kumpulan lelaki yang merusuh di luar premis pusat hiburan di Cyber City, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis menahan seorang lelaki dan memburu tujuh lagi individu selepas dipercayai terbabit dalam kes merusuh di sebuah pusat hiburan di Cyber City di sini.

Kejadian itu berlaku pada jam 3 pagi, 20 Oktober lalu apabila dua lelaki berusia 19 tahun dibelasah lapan lelaki yang dikatakan dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai penghantar makanan dibelasah termasuk menggunakan topi keledar dan kepala tali pinggang.

Menurutnya, pergaduhan dipercayai berpunca daripada keadaan kedua-dua pihak yang mabuk dan saling pandang memandang ketika berada di dalam pusat hiburan berkenaan.

"Bagaimanapun, pergaduhan hanya berlaku di luar premis hiburan apabila lapan suspek bertindak menarik salah seorang mangsa dan terus membelasahnya.

"Kejadian disedari rakan mangsa yang kemudiannya cuba membantu, namun dia turut dibelasah kumpulan suspek," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zaidi berkata, pergaduhan itu berjaya dileraikan apabila kedua-dua mangsa dibantu orang awam yang turut berada di lokasi kejadian.

"Semua suspek bertindak melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Proton Saga warna kelabu, namun mangsa gagal mengingati nombor pendaftaran kenderaan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) dan dirawat sebagai pesakit luar selepas tiada kecederaan serius dialami mereka," katanya.

Mohd Zaidi berkata, susulan daripada laporan diterima, pihaknya berjaya mengesan seorang suspek, manakala selebihnya masih diburu.

"Seorang lelaki dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu ditahan pada Rabu lalu di Api-Api Centre dan usaha mengesan tujuh lagi suspek sedang giat dijalankan.

"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan bagi mengetahui punca sebenar kejadian serta usaha untuk mengenal pasti semua suspek," katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi memaklumkan premis lokasi kejadian turut diambil tindakan dengan mengeluarkan sebanyak 10 kompaun terhadap pemilik serta pelanggan di pusat hiburan terbabit.

Beberapa hari lalu, tular video berdurasi 31 saat berkaitan insiden pergaduhan yang memaparkan dua individu dibelasah oleh sekumpulan lelaki dipercayai berlaku di luar premis sebuah pusat hiburan di Cyber City di sini.