Pekebun kecil sambut baik cadangan Risda naikkan harga lantai getah

A
A
A

No Image Caption

SHAH ALAM – Pekebun kecil sambut baik cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) berkenaan kenaikan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 kepada RM3.50 sekilogram mulai Januari 2022.

Rata-rata mereka berpendapat, kenaikan tersebut dapat membantu dan membolehkan lebih ramai penoreh getah keluar dari garis kemiskinan kerana harga getah sekerap jauh lebih rendah berbanding kelapa sawit sekali gus mewujudkan jurang yang besar antara pengusaha kebun getah dan kelapa sawit.

Papiyah
Papiyah

Artikel Berkaitan:

Seorang pekebun kecil, R M Papiyah melahirkan harapan agar kerajaan bersedia mendengar rintihan mereka dan membantu golongan pekebun kecil sepertinya.

Dia berharap kerajaan menaikkan harga getah bagi membantu mereka yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan terkesan akibat pandemik Covid-19 sejak dua tahun kebelakangan ini.

“Tanah hanya setakat dua hektar dan bukan semua ada tanaman getah. Apabila musim hujan seperti sekarang kami sangat-sangat terkesan.

“Saya harap pihak kerajaan dapat membantu kami yang mengalami masalah pendapatan dan saya berharap kerajaan bersetuju untuk menaikkan harga getah lantai sekerap,” katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Manaf
Abdul Manaf

Sementara itu, Abdul Manaf Sani, 46, pula berpendapat adalah sangat wajar kerajaan menaikkan harga getah malah ia sepatutnya dilakukan sejak dulu lagi.

Katanya, dengan menaikkan harga getah ia secara tidak langsung membela nasib pekebun kecil yang kesempitan kewangan kerana kos sara hidup semakin tinggi.

“Sudah lama isu ini disuarakan kerana nasib para penoreh getah masih lagi di tahap lama. Kami ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

“Kehidupan kami di luar bandar masih susah, kami tidak mampu membeli ayam kerana harganya melonjak naik apatah lagi harga getah masih di paras bawah.

“Harapan saya agar kerajaan menaikkan harga gatah kepada RM3.50 sekilogram dan ini memberi nafas lega kepada seluruh penoreh getah di Malaysia,” ujarnya.

Md Zainizam
Md Zainizam

Seorang lagi pekebun kecil, Md Zainizam Md Suji, 50, berpendapat kenaikan harga lantai getah kepada RM3.50 adalah wajar kerana barangan keperluan juga naik mendadak termasuk input pertanian seperti racun, rumpai dan baja.

“Pekebun kecil akan terus setia dengan tanaman getah jika harga getah terus konsisten berdasarkan harga lantai yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

“Saya harap pihak kerajaan dapat menetapkan harga lantai getah sekerap pada harga RM3.50 sekilogram. Golongan muda juga akan tertarik sekiranya harga getah mendatangkan hasil lumayan.

“Saya hargai pihak Risda yang prihatin dengan nasib pekebun kecil dan pelbagai bantuan serta insentif dihulurkan kepada kami,” katanya.

Md Sharif
Md Sharif

Md Sharif Bokhari, 69, turut menyokong saranan kenaikan harga getah kerana harga RM2.50 ketika ini adalah diparas yang amat rendah.

“Kerajaan perlu memandang isu ini dan nasib-nasib kami sebagai pekebun kecil yang perlukan peningkatan pendapatan.

“Melalui mesyuarat Persatuan Pekebun Kecil Cawangan Negeri Sembilan kami turut menyuarakan hasrat mendesak kenaikan harga getah kepada pihak Risda. Besar harapan kami sekiranya kerajaan bersetuju, ia memberi sinar baru buat kami,” katanya.