Perak rancang buka galeri seni yang diilhamkan Mamat Khalid

Nolee Ashilin
Nolee Ashilin
A
A
A

TAPAH - Kerajaan negeri Perak berhasrat meneruskan perancangan untuk membuka galeri seni di Ipoh mirip Sarang Art Hub yang diusahakan pengarah filem terkenal, Allahyarham Mamat Khalid.

Exco Perumahan, Pelancongan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, perbincangan semula bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan pihak syarikat milik Allahyarham itu akan dilakukan untuk meneruskan perancangan awal pembinaan galeri seni di Kampung Kuchai, Ipoh.

Menurutnya, galeri itu akan menjadi tarikan baharu pelancongan di kawasan pekan lama Ipoh.

"Sebelum ini kita ada menjalankan usahasama dengan arwah yang mana beliau menguruskan Sarang Art Hub di Tanjung Malim. Perbincangan awal sebelum ini mengekalkan konsep sama tetapi disuntik elemen galeri dan sebagainya.

"Terbaharu kita ada membuat rundingan melalui MBI untuk sama-sama membangunkan semula lokasi di Kampung Kuchai dengan sebuah galeri seni. Perbincangan akan diteruskan dan kita akan lihat bagaimana untuk merealisasikannya mengikut pelan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035 (Penggantian) Majlis Daerah Tapah di Dewan Merdeka di sini pada Khamis.

Nolee Ashilin berkata, pemilihan Kampung Kuchai bertepatan kerana kawasan itu masih mengekalkan seni warisan kampung Melayu terawal di pesisir Sungai Kinta.

"Itu antara kawasan yang kita lihat boleh dibangunkan sebagai satu tarikan kerana ia berada bersama kluster pelancongan pekan lama Ipoh termasuk 'riverside'.

"Kita juga menerima banyak permintaan untuk mengekalkan kebudayaan kampung ini dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mahu kita melakukan sesuatu.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, tanah itu bukan milik kita. Tanah yang ada adalah milik kerajaan Persekutuan yang dalam perbincangan untuk diserahkan semula kepada kerajaan negeri melalui MBI," jelas beliau.