X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Pengeluar arak Timah pertimbang tukar nama, imej

Alexander Nanta Linggi
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pengeluar arak jenama Timah, Winepark Corporation (M) Sdn Bhd akan mempertimbang menukar nama Timah dan imej pada arak keluaran mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, syarikat berkenaan memohon tempoh selama satu minggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah mengenai penukaran nama dan imej pada label produk berkenaan.

Menurutnya, perkara berkenaan adalah antara hasil keputusan yang telah dicapai dalam pertemuan wakil syarikat berkenaan bersama pihak kerajaan baru-baru ini.

“Kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap isu jenama Timah pada sebuah produk arak keluaran tempatan yang dibincangkan di media elektronik dan sosial sejak ia dilancarkan pada awal Oktober lalu.

“Justeru satu mesyuarat telah diadakan yang melibatkan beberapa orang menteri dengan syarikat pengeluar iaitu Winepark Corpration (M) Sdn Bhd. Saya telah mempengerusikan mesyuarat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, mesyuarat itu turut disertai Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Hadir sama adalah Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli, Abdul Wahid Abu Salim dan Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Abdul Haris Lakar serta wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Tambah Alexander, pertemuan secara hibrid itu diadakan dalam suasana harmoni menghayati konsep Keluarga Malaysia bagi mencapai satu kesepakatan demi kebaikan negara.

Katanya, pertemuan itu juga merupakan susulan pertemuan pertama yang telah diadakan antara syarikat Winepak (M) Sdn Bhd bersama MyIPO pada 25 Oktober 2021.

“Di samping itu, KPDNHEP melalui MyIPO akan menambah baik prosedur yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi-agensi berkaitan supaya isu yang sama tidak berulang lagi di masa hadapan.

“Saya berharap semua pihak dapat memahami serta memberi peluang kepada kerajaan mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk semua pihak,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!