PRN Melaka: PN pertaruh calon berpengalaman, muka baharu

Perikatan Nasional
Perikatan Nasional
A
A
A

MELAKA - Perikatan Nasional (PN) akan mempertaruhkan individu berpengalaman serta muka baharu sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mengesahkan perkara itu berkata, kesepakatan itu dicapai hasil perbincangan bersama komponen PN.

PN dianggotai Bersatu, Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

“Kami ada calon-calon yang berkualiti yang akan kami tawarkan. Yang penting, calon-calon kami adalah (mereka) yang berintegriti, tiada sejarah penyelewengan dan terbukti komited untuk berkhidmat kepada rakyat Melaka.

“Kami akan pastikan mereka membawa kemakmuran kepada negeri Melaka dan bukan membina empayar kekayaan peribadi,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama pada Rabu.

Sementara itu, Wan Saiful menerusi catatan di Facebook berkata, gabungan itu akan berkempen menggunakan platform media dalam talian dan media cetak sebagai usaha memastikan rakyat mendapat maklumat.

Ia susulan langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengenakan larangan untuk sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya berkuat kuasa Isnin lepas sehingga 27 November.

“Media dalam talian dan media cetak akan menjadi platform utama kami dan kami akan sediakan aktiviti penerangan yang sesuai untuk mendekati pengundi. Pada masa yang sama, saya minta pihak berkuasa memperhalusi mekanisme pelaksanaan SOP (prosedur operasi standard) ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. - Bernama