Rexy mampu gilap potensi beregu negara

Rexy bakal memulakan tugas baharunya di BAM pada 1 Disember ini.
Rexy bakal memulakan tugas baharunya di BAM pada 1 Disember ini.
A
A
A

PELANTIKAN bekas jaguh Indonesia, Rexy Mainaky sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai satu tindakan tepat untuk memperkasa gandingan beregu negara.

Legenda beregu badminton negara, Datuk Razif Sidek berkata, kehadiran semula Rexy dalam barisan kejurulatihan BAM mampu memberi 'nilai tambah' kepada Malaysia menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Malah, Razif memberitahu, pelantikan Rexy itu dilihat mampu membantu tugas Wong Choong Hann yang ketika ini menggalas tugas sebagai Pengarah Kejurulatihan BAM.

“Dulu kalau kita lihat BAM ada seorang sahaja pengarah kejurulatihan iaitu Morten Frost sebelum diambil alih oleh Wong Choong Hann. Jadi saya rasa ia satu petanda yang bagus kerana pertama kali ada pengarah dan timbalan pengarah kejurulatihan.

“Mungkin dengan kehadiran Rexy nanti, Choong Hann boleh memberi tumpuan yang khusus kepada pemain perseorangan manakala Rexy memberi fokus kepada pemain beregu.

“Ia secara tidak langsung memberikan mereka lebih fokus dengan tugas masing-masing. Jadi mereka boleh memantau jurulatih-jurulatih dalam setiap department baik perseorangan mahupun beregu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pada Isnin, BAM menerusi satu kenyataan media memaklumkan Rexy dilantik sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan dan beliau akan melaporkan diri di Akademi BAM di Bukit Kiara pada 1 Disember ini.

Pakar beregu berusia 53 tahun itu diberikan tugas untuk menambah input teknikal kepada indeks prestasi dan akan secara khususnya menjaga pemain beregu dalam skuad negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Razif berharap pengalaman luas yang dimiliki Rexy sebelum ini dapat membantu meningkatkan prestasi barisan pemain muda negara bagi menghadapi kejohanan utama akan datang.

“Kalau kita lihat Rexy mempunyai rekod yang baik ketika menjadi ketua jurulatih beregu Malaysia dahulu. Jadi mungkin dia boleh bantu atasi kelemahan dan masalah yang dihadapi bahagian beregu,” ujarnya.

Rexy yang merupakan Ketua Jurulatih Persatuan Badminton Thailand (BAT) sejak 2017 sebelum ini pernah berkhidmat sebagai jurulatih beregu negara dari 2005-2012.

Rexy bertanggungjawab menjadikan gandingan emas, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sebagai beregu nombor satu dunia selain memenangi emas Sukan Asia 2006 dan gelaran All England 2007.

Ketika zaman kegemilangannya, Rexy bersama Ricky Subagja menjuarai Kejuaraan Dunia 1995 dan gelaran Olimpik 2016 selain memenangi tiga pingat emas Piala Dunia dan gelaran empat kali Piala Thomas antara 1994 hingga 2000.