Lei Choo ucap selamat tinggal selepas 35 tahun berkhidmat

Kawalan kehormat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur memberi penghormatan terakhir kepada Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo pada hari terakhir beliau bertugas dan bersara wajib di sini, pada Selasa. - Foto Bernama
Kawalan kehormat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur memberi penghormatan terakhir kepada Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo pada hari terakhir beliau bertugas dan bersara wajib di sini, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas 35 tahun membanteras jenayah, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Sang Saka Biru pada Selasa.

Beliau yang memegang jawatan berkenaan sejak tahun 2019 merupakan wanita pertama yang dilantik untuk menyandang jawatan tersebut di sini.

"Jika diberikan pilihan, saya akan memilih untuk terus berkhidmat kerana saya merasakan masih boleh menyumbang kepada pasukan. Tetapi apakan daya ini adalah persaraan wajib.

"Saya berasa sangat sedih, hari ini (Selasa) secara rasminya saya telah serahkan jawatan tersebut kepada pegawai kanan. Saya berasa amat terhutang budi kepada pihak kerajaan dan perkhidmatan polis," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Selasa.

Lei Choo berkata, dalam masa terdekat beliau masih tidak mempunyai sebarang perancangan khusus melibatkan masa depannya.

"Saya akan ambil sedikit masa untuk bercuti dan berehat. Saya rasa semuanya akan baik-baik sahaja dan dalam sedikit masa lagi saya akan fikirkan apa perancangan masa depan saya," katanya.

Tambah Lei Choo, beliau mungkin mempertimbangkan untuk menceburi beberapa bidang lain di mana beliau boleh menggunakan pengalamannya untuk menambah baik kehidupan masyarakat.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada petugas media kerana sejak saya berada di sini, kami pihak Polis Kuala Lumpur khususnya mendapat kerjasama amat baik daripada pihak media," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau menyeru agar warga Polis Kuala Lumpur untuk bersama-sama dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim untuk mengekalkan malah mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi pada masa hadapan