Dua jam tangkap sepasang ular sawa dalam tangki kumbahan

Penduduk kampung berusaha menangkap dua ekor ular sawa batik yang bersarang di dalam tangki kumbahan di sebuah kediaman di Kampung Ladang Sihat, di Kuala Terengganu pada Ahad.
Penduduk kampung berusaha menangkap dua ekor ular sawa batik yang bersarang di dalam tangki kumbahan di sebuah kediaman di Kampung Ladang Sihat, di Kuala Terengganu pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penduduk di Kampung Ladang Sihat, di sini mengambil masa kira-kira dua jam untuk menangkap sepasang ular sawa batik yang bersarang di dalam tangki saluran kumbahan di sebuah kediaman di kampung berkenaan pada Ahad.

Seorang penduduk, Shida Rosainzah Zainal, 27, berkata, ular itu berjaya ditangkap adiknya, Muhammad Zulkifli Zainal, 25, bersama lima lagi penduduk kampung sekitar jam 4 petang.

"Kami ambil keputusan untuk terus tangkap ular ini kerana dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk sekitar terutama kanak-kanak.

"Mujurlah adik saya mempunyai kemahiran menangkap ular serta pernah menangkap beberapa ekor ular berbisa seperti ular tedung selar dan ular senduk sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurut Shida Rosainzah, kehadiran ular di lokasi berkenaan disedari abang iparnya kira-kira jam 1 tengah hari selepas menemui seekor ayam jantan yang dipelihara mati berhampiran lokasi terbabit.

"Pada mulanya dia mengesan terdapat bekas seperti tusukan dua taring pada bahagian leher ayam sebelum memeriksa lokasi berkenaan.

"Sebaik membuka penutup tangki kumbahan itu, dia terperanjat kerana melihat sepasang ular sawa batik dan bergegas memberitahu orang lain," katanya.

Jelasnya, ular berkenaan dipercayai tidak berjaya membawa masuk bangkai ayam jantan itu ke dalam sarangnya kerana tersekat pada bahagian penutup tangki septik itu.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya beberapa ekor ayam peliharaan abang ipar saya telah hilang sejak Julai lalu namun kami semua tidak mengetahui punca kehilangannya kerana tiada jejak yang ditinggalkan.

"Kebanyakan ayam-ayam yang hilang adalah ayam betina yang bersaiz kecil. Ayam jantan yang ditemui mati itu merupakan ayam jantan bersaiz agak besar berbanding yang lain," katanya.

Ditanya saiz dan berat ular yang ditangkap, Shida Rosainzah berkata, mereka tidak sempat mengukur ular berkenaan kerana ia agak agresif.

Katanya, dua ekor ular itu kemudiannya diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Terengganu pada Ahad.