X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

Pejuang tidak sertai PRN Melaka: Tun M

Dr Mahathir
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kekal pendirian tidak meletakkan calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pejuang juga tidak akan memberikan sokongan kepada mana-mana parti politik yang menyertai PRN tersebut.

"Kita tidak akan bantu mana-mana pihak, kita berkecuali sama sekali.

"Ahli-ahli Pejuang tidak akan pergi atau berucap dalam PRN Melaka," katanya dalam satu sidang akhbar di sini pada Isnin.

Hadir sama, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya dan Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, sekarang bukan masa sesuai untuk mengadakan sebarang pilihan raya kerana negara masih lagi berdepan dengan risiko penularan Covid-19.

Jelas beliau, pelaksanaan PRN ketika ini juga dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya gelombang baharu Covid-19 seperti mana berlaku selepas PRN Sabah pada tahun lalu.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, kejatuhan kerajaan negeri Melaka merupakan mainan politik yang dilakukan demi mendapatkan jawatan dan kuasa.

"Kita menganggap ini adalah mainan politik orang yang tidak serius dalam politik. Kita masuk dalam politik untuk berkhidmat kepada negara dan memajukan negara bagi memberi kehidupan yang lebih selesa kepada rakyat.

"Tetapi mereka ini cuma masuk politik untuk dapatkan jawatan," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal 16 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!