Padah pamer aksi berbahaya, sembilan penunggang motosikal ditahan

Sembilan penunggang motosikal pamer aksi berbahaya di Lebuhraya Pantai Timur menghala ke Kuala Lumpur pada Ahad ditahan pihak polis. - Foto ihsan Facebook Polis Trafik Pahang
Sembilan penunggang motosikal pamer aksi berbahaya di Lebuhraya Pantai Timur menghala ke Kuala Lumpur pada Ahad ditahan pihak polis. - Foto ihsan Facebook Polis Trafik Pahang
A
A
A

KUANTAN - Sembilan lelaki yang melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Kilometer 216 hingga 193, Lebuhraya Pantai Timur menghala ke Kuala Lumpur, pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, penahanan sembilan lelaki berusia 20 hingga 29 tahun itu dibuat hasil aduan pengguna lebuh raya terbabit.

"Ketika operasi dijalankan, kesemua mereka didapati menunggang motosikal dengan kelajuan tinggi, melakukan aksi zig-zag, menundukkan badan serta kedua-dua kaki ke belakang seperti Superman.

"Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didapati menunggang secara melulu dan berbahaya, sembilan motosikal milik mereka turut disita," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Motosikal yang digunakan sembilan lelaki disita oleh pihak polis pada Ahad. - Foto Facebook Polis Trafik Pahang.
Motosikal yang digunakan sembilan lelaki disita oleh pihak polis pada Ahad. - Foto Facebook Polis Trafik Pahang.

Ops Samseng Jalanan yang dilakukan pasukan Polis Peronda Lebuh Raya (EMPV) Bukit Aman bersama JSPT Pahang dan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Kuantan dengan kekuatan empat pegawai dan 27 anggota itu bermula 9 pagi hingga 12 tengahari pada Ahad.

Beliau berkata, sebanyak 217 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi itu.

Sehubungan itu, Kamarulzaman berkata, pihaknya akan mengadakan operasi ini secara berterusan bagi memastikan pematuhan peraturan jalan raya.

Artikel Berkaitan: