X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Hanya sehari bergelar suami isteri

Mahligai bahagia Siti Saraf dan Mohamad Amirul Akmal hanya bertahan dalam tempoh 24 jam.
A
A

KOTA BHARU - "Abang...kita dah kahwin," itu kata-kata terakhir yang diluahkan oleh Siti Saraf Ismail, 25, kepada suaminya, Mohamad Amirul Akmal Mohd Aziz, 25, sebelum meninggal dunia pada Ahad.

Mahligai bahagia yang dibina hanya bertahan seketika apabila Siti Saraf yang merupakan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya telah dijemput Illahi dalam tempoh 24 jam bergelar isteri kepada Mohamad Amirul Akmal.

Sungguhpun agak pahit untuk ditelan, Mohamad Amirul Akmal dilihat tenang dan reda dengan ketentuan yang telah ditetapkan.

"Pada jam 3 pagi, saya dikejutkan oleh isteri yang memaklumkan dia mengalami sakit kepala.

"Selepas itu dia tidur semula sehingga pagi dan sepanjang tempoh tersebut saya berada di sisinya," katanya ketika ditemui pemberita di rumah mertuanya di Kampung Karang, Banggu, di sini pada Isnin.

Kisah sedih pasangan ini tular di media sosial apabila dikongsikan oleh warganet yang rata-rata menitipkan doa kepada arwah dan kata-kata semangat kepada Mohamad Amirul Akmal.

Menurutnya, pada waktu pagi dia lihat isterinya berada dalam keadaan baik dan masih lagi tidur ketika itu.

Mohamad Amirul Akmal berkata, selepas itu, dia dan keluarga dikejutkan apabila melihat arwah mengalami sesak nafas.

"Saya segera hubungi ambulans kerana pada ketika itu isteri sangat memerlukan bantuan oksigen dan ambulans tiba jam 12 tengah hari.

"Bagaimanapun, isteri disahkan meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari oleh doktor yang bertugas di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)," katanya.

Mohamad Amirul Akmal yang bertugas sebagai pembantu perubatan berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mengesahkan arwah meninggal dunia akibat pendarahan di dalam otak sebelah kanan.

Dia berkata, arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Karang pada Ahad.

Mohamad Amirul Akmal berkata, arwah sering menitipkan pesanan supaya sentiasa menjaga ahli keluarga selepas mendirikan rumah tangga.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!