Hasil siasatan Pandora Papers akan dibentangkan di Parlimen

Wan Junaidi
Wan Junaidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hasil siasatan Pandora Papers yang didakwa melibatkan beberapa figura terkemuka negara akan dibentang di Parlimen selepas selesai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi jaminan yang kerajaan akan tetap menjalankan siasatan ke atas itu meskipun pendedahan itu dilakukan pada 2012.

Menurut Wan Junaidi, arahan akan dikeluarkan kepada semua agensi terlibat termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menjalankan siasatan.

"Saya bagi jaminan yang Perdana Menteri akan mengeluarkan arahan kepada semua agensi yang terlibat seperti SPRM, BNM dan JSJK untuk melakukan siasatan.

"Kita akan bincang untuk menetapkan satu tarikh yang sesuai untuk membawa hasil siasatan ke Parlimen selepas keputusan akhir diperolehi," katanya di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian kepada soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai jaminan kerajaan dalam menyiasat pendedahan Pandora Papers.

Malah beliau menegaskan, kerajaan akan memberi ruang kepada mereka yang terlibat dalam laporan Pandora Papers untuk memberi penjelasan dalam sidang Parlimen nanti.

Sementara itu menjawab soalan asal mengenai pemantauan terhadap transaksi wang keluar negara secara haram serta nilai wang haram yang telah dikeluarkan sejak 2008 hingga kini, Wan Junaidi berkata, penggunaan akaun luar pesisir bukanlah suatu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia dan tindakan akan diambil sekiranya terdapat bukti berkaitan salah laku jenayah mana-mana individu atau syarikat.

Artikel Berkaitan:

"Dalam pendedahan Pandora Papers, International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) hanya menyenaraikan siapa yang pernah atau sedang memiliki saham atau menjadi pengarah dalam syarikat di luar negara atau 'offshore'.

"Sebagaimana yang saya sebutkan tadi, penggunaan akaun luar pesisir semata-mata bukanlah suatu kesalahan di bawah undang-undang Labuan kecuali terdapat bukti berkaitan salah laku jenayah mana-mana individu atau syarikat," katanya.

Beliau menjelaskan, orang ramai seringkali keliru dengan ICIJ Global Financial Integrity (GFI), sedangkan kedua-dua organisasi adalah berbeza meskipun berpusat di Washington.

"GFI merupakan organisasi yang terdiri daripada kumpulan penganalis ekonomi yang membuat pendedahan berkaitan aliran keluar wang haram dengan aktiviti trade mispricing oleh syarikat-syarikat pengimport atau pengeksport dan Multi National Company (MNC) untuk mengelakkan cukai.

Merujuk kepada laporan pihak The Coverage berkaitan pengaliran keluar dana sebanyak RM 1.8 trillion dan nama-nama individu lain seperti ahli-ahli keluarga bekas perdana menteri, katanya, laporan itu sebenarnya tidak merujuk kepada Pandora Papers semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, maklumat pengaliran dana tersebut dinyatakan dalam laporan GFI manakala nama-nama tambahan tersebut adalah daripada pendedahan-pendedahan lain oleh ICIJ seperti Paradise Papers dan Panama Papers.

"Laporan GFI mengenai aliran keluar kewangan haram bagi Malaysia adalah terlebih nyata (overstated) kerana ianya tidak mengambil kira 'Rotterdam effect' serta menganggap 'errors and omissions', yang timbul akibat percanggahan dalam proses kompilasi data sebagai bersamaan dengan aliran kewangan haram.

"Justeru, mengaitkan pendedahan yang dibuat oleh ICIJ danclaporan yang dikeluarkan oleh GFI adalah sesuatu yang kurang tepatcdan boleh mengelirukan kerana kedua-duanya merupakan organisasi yang berbeza dengan pelaporan yang berbeza," katanya.

Wan Junaidi berkata, dalam hal ini, kerajaan tidak akan mengganggu pihak berkuasa sekiranya terdapat laporan terhadap mana-mana pihak atau individu yang memerlukan siasatan lanjut dijalankan terhadapnya.

"Sebagai makluman juga, BNM telah meningkatkan pemantauan dancperisikan dalam mengesan aktiviti kiriman wang tanpa lesen. Inicmenyumbang kepada peningkatan aktiviti penguatkuasaan menyasarkan

aktiviti kiriman wang tanpa lesen samada aktiviti bersindiket dan jugacoperator-operator runcit.

"Bagi tempoh 2017 hingga 2020, tindakan penguatkuasaan telah dipertingkatkan dengan 64 kes telah didakwa di mahkamah, melibatkan lebih RM11 juta jumlah denda dan melucutkan harta," jelasnya. - Sumber Awani

ARTIKEL BERKAITAN:SPRM belum mulakan siasatan pendedahan Kertas Pandora

VIDEO BERKAITAN:Anwar bangkit isu Pandora Papers di Parlimen