Pemuda Perikatan Nasional Melaka bantu mangsa banjir

Afiq (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.
Afiq (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir.
A
A
A

MELAKA - Prihatin dengan nasib mangsa banjir, Pemuda Perikatan Nasional Melaka menggerakkan petugas serta sukarelawan di daerah-daerah yang terkesan, bagi memantau situasi banjir dan menyampaikan sumbangan.

Naib Ketua Pemuda Perikatan Nasional Melaka, Afiq Nazmi berkata, Pasukan Taskforce Pemuda Perikatan Nasional Melaka, telah digerakkan sejak awal minggu lalu dengan koordinasi bersama agensi kerajaan negeri, persekutuan serta badan bukan kerajaan lain.

Katanya, 'Squad Taskforce' ini diketuai Ketua-ketua Pemuda Bersatu Negeri Melaka, bertanggungjawab mengatur bantuan logistik kepada mangsa banjir di beberapa lokasi yang dikenal pasti.

"Selain memantau daerah dan kawasan yang terjejas akibat banjir kilat ini, kita juga ada membantu mengemas rumah dan menyampaikan sumbangan keperluan harian.

Antara pemuda Squad Taskforce yang membantu menbersihkan rumah mangsa banjir kilat di Melaka.
Antara pemuda Squad Taskforce yang membantu menbersihkan rumah mangsa banjir kilat di Melaka.

"Sumbangan berbentuk barang makanan asas, pek kebersihan dan pek khas kanak-kanak yang diserahkan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Balai Raya Gadik, Sekolah Batu Berendam 2, Sekolah Kebangsaan Ayer Molek dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Katil," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Tambah Afiq, pihaknya juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada masyarakat yang terlibat dalam memberikan sumbangan, sama ada secara langsung atau sebaliknya kepada semua mangsa banjir yang terkesan.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan mangsa banjir di Melaka meningkat kepada seramai 1,105 orang berbanding 932 mangsa pada petang Khamis yang ditempatkan di 12 buah pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, setakat jam 8 pagi Jumaat, empat PPS telah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka, SK Ayer Molek dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil di daerah Melaka Tengah serta SK Telok Berembang di daerah Alor Gajah.