Tebing ban Sungai Temelok pecah punca banjir terkejut

Penduduk setempat Roszaidi Zakaria, 50, meredah air yang masih bertakung di kawasan rumahnya selepas kejadian banjir malam tadi ketika ditemui di Kampung Temerlok, Terong pada Khamis. - Foto Bernama
Penduduk setempat Roszaidi Zakaria, 50, meredah air yang masih bertakung di kawasan rumahnya selepas kejadian banjir malam tadi ketika ditemui di Kampung Temerlok, Terong pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT GANTANG - Hujan lebat berterusan menjadi punca tebing ban Sungai Temelok pecah sehingga membawa kepada musibah banjir dan memaksa penduduk Kampung Temelok, Trong, Taiping dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) tengah malam tadi.

Rata-rata penduduk ketika ditemui Bernama memaklumkan tebing ban di sungai yang pecah dan terhakis itu telah membawa arus deras yang mengakibatkan air melimpah memasuki rumah mereka dan beberapa kawasan kelapa sawit.

Basri Shafie, 51, berkata, hujan lebat di kawasan ini mulai turun sejak 6 petang hingga 12 tengah malam dan menyebabkan air sungai itu melimpah lalu memasuki rumah penduduk sedalam 0.5 hingga 0.8 meter.

"Saya sempat memindahkan beberapa barang berharga ke tempat tinggi bagi mengelak ditenggelami air," katanya ketika ditemui di Kampung Temelok dekat Terong pada Khamis.

Seorang suri rumah Julia Nun, 52, memberitahu, air mula memasuki rumahnya pada 7 malam dan memaksa keluarganya berpindah ke PPS di Sekolah Kebangsaan Sungai Temelok pada pukul 2 pagi demi keselamatan selain mengelakkan tragedi yang tidak diingini daripada berlaku.

Seorang lagi mangsa banjir, Roszaidi Zakaria, 50, menjelaskan ada keperluan asas dan kelengkapan rumah yang tidak sempat dipindahkan seperti mesin basuh kerana air deras memasuki rumahnya sedalam 0.8 meter.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, hujan lebat berterusan menyebabkan 14 orang daripada tiga keluarga di Kampung Sungai Temerlok, Taiping dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Temelok susulan banjir kilat melanda kawasan itu awal pagi tadi.

PPS itu dibuka 3 pagi tadi menempatkan 10 wanita dan empat lelaki. - Bernama

Artikel Berkaitan: