Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan persediaan hadapi bencana

Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan yang sedang dibangunkan Nadma dapat memperkasa pengurusan dan memperhebat kesiapsiagaan risiko bencana negara. - Gambar hiasan Bernama
Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan yang sedang dibangunkan Nadma dapat memperkasa pengurusan dan memperhebat kesiapsiagaan risiko bencana negara. - Gambar hiasan Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan yang sedang dibangunkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dapat memperkasa pengurusan dan memperhebat kesiapsiagaan risiko bencana negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain menambah baik kefahaman tentang risiko bencana, dasar itu juga dapat meningkatkan pelaburan dalam inisiatif pengurangan risiko bencana dari aspek kapasiti sumber manusia, pemerkasaan institusi, perluasan langkah mitigasi dan aplikasi teknologi.

“Saya juga telah dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Nadma bahawa satu daripada usaha yang telah dijalankan oleh pihak Nadma untuk memberi kesedaran dan kefahaman kepada orang awam mengenai risiko-risiko bencana yang terdapat di Malaysia, adalah melalui penerbitan dokumen Daftar Risiko Kebangsaan (NRR) untuk orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan webinar Risiko Bencana pada Era Perubahan Iklim anjuran Nadma, Khamis.

Dokumen itu yang disediakan dengan kerjasama rakan strategik Nadma, Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia (SEADPRI-UKM), akan dilancarkan Perdana Menteri Khamis depan.

Ismail Sabri berkata, NRR adalah usaha yang baik dalam menyedarkan Keluarga Malaysia tentang pengurusan bencana yang telah dilaksanakan di negara ini, jenis-jenis bencana sedia ada dan tindakan susulan yang boleh dijadikan rujukan.

Dokumen berkenaan juga boleh digunakan untuk tujuan kajian perancangan dan pemetaan, pemantauan, sistem ramalan awal, pencegahan, mitigasi dan strategi pengurangan risiko.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, strategi, pelan tindakan dan program pengurangan risiko bencana yang dibangunkan perlu mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana dalam semua sektor selain koheren dengan instrumen global antaranya Perjanjian Paris untuk mencapai aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Artikel Berkaitan:

Katanya, pendekatan sains dan teknologi juga adalah langkah penting dalam mengintegrasikan pengurangan risiko bencana dengan adaptasi perubahan iklim.

“Dalam mendepani risiko bencana, kesejahteraan Keluarga Malaysia merupakan prasyarat utama, kita menyasarkan rakyat yang sentiasa peka terhadap risiko bencana, mempunyai daya tahan dan berkebolehan dalam mengadaptasi keadaan bencana dalam era perubahan iklim ini,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan memandang serius impak perubahan iklim dan peningkatan kesan bencana pada masa akan datang dengan mengambil kira Laporan Human Cost of Disasters 2000-2019 oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR).

“Ini ditekankan dalam Strategi Utama Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) iaitu untuk meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana ke arah melestarikan agenda pertumbuhan hijau negara,” katanya.

Ismail Sabri berkata, impak bencana seperti banjir, tsunami dan pandemik Covid-19 tidak dapat dielakkan, namun boleh dikurangkan melalui inisiatif Pengurangan Risiko Bencana (DRR) dan melihatnya sebagai satu peluang untuk lebih bersedia dan berdaya tahan menghadapi bencana pada masa depan.

“Komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam merupakan kunci yang perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membentuk budaya perkongsian tanggungjawab, termasuk dalam pengurangan risiko bencana,” katanya.

Ini termasuk pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan menggalakkan keterlibatan golongan muda dan belia dalam kesedaran awam, seterusnya memacu perubahan tingkah laku ke arah komuniti berdaya tahan bencana. - Bernama