Anggota bomba lemas ketika bantu mangsa banjir meninggal dunia

Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh
Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Anggota bomba yang lemas ketika melakukan kerja-kerja penyelamatan mangsa banjir di Sungai Putat, Batu Berendam di sini pada Rabu disahkan meninggal dunia pada jam 3.11 pagi pada Khamis.

Mangsa, Pegawai Bomba PBK II (KUP) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, 46, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka.

Pengarah JBPM Negeri, Penolong Pesuruhjaya Abu Bakar Katain mengesahkan berita sedih itu dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada pagi Khamis dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur Krubong, pada jam 10 pagi.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa bersama pasukannya sedang melakukan kerja-kerja penyelamatan seramai 14 mangsa banjr yang terperangkap di anjung sebuah rumah berikutan arus deras dan paras air meningkat dengan cepat.

Menurut beliau, pasukan itu menggunakan alat pelindungan diri seperti jaket keselamatan ketika membuat penyelamatan secara 'water crossing' di lokasi kejadian bagaimanapun mangsa tergelincir akibat ditolak arus deras dan terperangkap di longgokan rumput hanyut.

Ujarnya, mangsa kemudian diselamatkan oleh anggota bomba yang lain serta diberikan bantuan pernafasan di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Melaka menggunakan Jentera Emergency Medical Rescue Service (EMRS) BBP Melaka Tengah.

"Mangsa yang menerima rawatan di hospital masih tidak sedarkan diri dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

"Warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Melaka merakamkan ucapan takziah dan amat berdukacita di atas insiden tersebut," katanya dalam kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Rabu melaporkan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Tengah dipercayai pengsan semasa melakukan kerja-kerja penyelamatan di Sungai Putat di sini pada Rabu.

Kejadian jam 5.30 petang itu dipercayai berlaku ketika mangsa sedang memasang tali di kawasan banjir untuk membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.