'Hasutan Guan Eng amat dahsyat, tidak bertanggungjawab': Mohd Khusairi

Mohd Khusairi Abdul Talib
Mohd Khusairi Abdul Talib
A
A
A

IPOH - UMNO mendesak kerajaan PH mendakwa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di bawah Akta Hasutan tanpa mengambil kira apa jua kedudukan beliau dalam kerajaan kini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, desakan itu dibuat susulan kenyataan media Menteri Kewangan itu menyifatkan tindakan penyatuan UMNO dan Pas sebagai isyarat pengisytiharan perang terhadap bukan Melayu sebagaimana disiarkan portal berita Malaysiakini semalam adalah dianggap tidak bertanggungjawab dan satu hasutan amat dahsyat.

Menurutnya, biarpun Guan Eng membuat pembetulan kononnya mahu melembutkan sedikit kenyataan awal, namun niatnya tetap sama untuk melagakan rakyat berbilang kaum di negara ini, khususnya antara orang Melayu dan bukan Melayu.

"Sikap sebegini amat tidak bertanggungjawab dan merupakan satu hasutan yang amat dahsyat.

"Tidak ada disebut sama sekali oleh pemimpin UMNO ataupun Pas bahawa penyatuan ummah antara dua parti Melayu terbesar itu mahu mengancam, apatah lagi mahu mengisytiharkan perang (declaration of war) ataupun menyasarkan orang bukan Melayu.

"Apakah menjadi satu kesalahan untuk orang Melayu bersatu demi perpaduan ummah?"katanya kepada media di sini hari ini.

Mohd Khusairi berkata, pihaknya mempersoalkan motif Guan Eng yang dilihat berjaya mencapai sasaran penyatuan orang Cina di bawah DAP, namun seolah-olah mahukan orang Melayu selamanya berpecah-belah, berbalah dan bercakaran antara pelbagai parti.

Menurutnya, ternyata kenyataan Guan Eng menonjolkan lagi sikap rasis DAP melampaui batas.

Artikel Berkaitan:

"Bukan sekadar rasis, malah kenyataan ini merupakan satu hasutan yang boleh meranapkan sama sekali keharmonian sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

"Sewajarnya Guan Eng didakwa di bawah Akta Hasutan, biar apa juga kedudukan beliau dalam kerajaan kini," katanya.