Dos penggalak untuk 'frontliners' Pulau Pinang bermula Isnin

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi dos penggalak untuk petugas barisan hadapan peringkat Pulau Pinang bermula pada Isnin.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, seramai 17,051 petugas barisan hadapan di Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) layak menerima suntikan penggalak berkaitan.

"Buat masa ini, bekalan vaksin Comirnaty bagi Pulau Pinang mencukupi untuk pelaksanaan pemberian dos penggalak," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow memaklumkan, laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) sehingga Ahad, kadar vaksinasi dos pertama bagi populasi dewasa di Pulau Pinang sudah mencapai 100.8 peratus.

Menurutnya, peratusan bagi dos lengkap pula ialah 96.3 peratus.

"Bagi PICK-Remaja, sehingga tempoh sama pencapaian dos pertama ialah 87.3 peratus manakala 17 peratus untuk dos lengkap.

"Pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri dan kepada mereka yang layak tetapi masih belum menerima sebarang suntikan boleh pergi ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara 'walk-in' sebelum 30 Oktober ini," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, untuk laporan data kes harian sehingga 12 tengah hari Isnin, jumlah kesdilaporkan adalah yang terendah sejak lima minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Secara keseluruhan, trend terkini menunjukkan penurunan.

"Bagaimanapun, Kerajaan Pulau Pinang bersama JKNPP memandang serius dan memberi perhatian khusus terhadap perkembangan enam kluster membabitkan pusat jagaan warga emas ketika ini," katanya.