'Awak perwakilan?' Ka Siong tanya wartawan

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini menegaskan pendirian muktamad parti itu dalam BN hanya akan diputuskan petang ini.

Beliau juga enggan mengesahkan soal draf usul yang bakal dibincangkan dikatakan menjurus kepada pembubaran BN bukan MCA keluar daripada BN.

"Awak perwakilankah? Sudah dibincangkan, dibahaskan kah? Nak sahkan apa?

"(Boleh sahkan draf usul dibawa untuk bubarkan BN?) Tidak, apa sahaja yang dikeluarkan hanya draf, apa pun draf perwakilan boleh sebut mereka suka, jadi saya tak nak bagi jawapan awal kepada awak.

"Jawapan saya sangat jelas, tunggu hingga resolusi muktamad akhir Perhimpunan Agung Tahunan MCA nanti," katanya kepada pemberita pada sidang media di Wisma MCA selepas majlis perasmian, hari ini.

Mengulas soal resolusi yang dibawa Pemuda MCA semalam agar BN dibubarkan, Ka Siong meminta wartawan melihat kembali resolusi tersebut.

"Saya rasa awak kena tengok balik apa resolusi Pemuda MCA. Yang penting hari ini perwakilan MCA akan membuat keputusan. Biarlah kita bincang, secara musyawarah dan buat keputusan yang baik.

"Saya tidak mahu buat sebarang ramalan apa yang akan diluluskan dalam resolusi ini tapi apa yang penting saya telah beritahu semua bahawa kali ini kita berbincang secara rasional, fikir secara masak-masak," katanya.

Tegasnya perwakilan perlu tahu implikasi setiap keputusan diambil.
Artikel Berkaitan:


"Kalau kita lakukan perkara ini apakah tindakan susulan, apakah persediaan mental yang kita perlu buat? Pilihan yang mana patut kita buat mestilah berlandaskan kepada justifikasi dan kita nak lihat adakah kita mempunyai pilihan atau perancangan yang selanjutnya?

"Saya rasa mesti ada tindakan susulan terhadap apa juga keputusan yang dibuat. Pada waktu ini saya tidak boleh memberi ramalan apa yang akan diluluskan selepas ini," katanya.

Ketika diminta mengulas lanjut soal keputusan yang bakal diambil, Ka Siong berkata,

"Awak boleh tanya saya nanti, tunggu dan saya akan komen. Jangan risau," katanya lagi.

Dalam ucapan dasarnya, Ka Siong menasihatkan perwakilan rasional dan tidak mengeluarkan kenyataan beremosi.

"Dalam keadaan genting ini, kita mesti elak buat keputusan tergesa-gesa. Tinggalkan atau kekal bersama BN, bubar BN ataupun berpendirian tunggu dan lihat, saya harap semua perwakilan boleh bertenang dan bercakap secara rasional.

"Masa depan parti dalam tangan kita. Perwakilan boleh nyatakan pandangan, kita tak ada hadkan apa-apa. Walau apa pun keputusan, saya harap kita tetap bersama-sama," katanya.

Perbahasan perhimpunan MCA kali ini diadakan secara tertutup.