X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 30 November 2021

10 minit yang bermakna, akhirnya Shah Rukh Khan 'bertemu' Aryan

Aryan Khan ditempatkan di Penjara Arthur Road mulai Khamis lalu selepas menjalani tempoh kuarantin dan disahkan negatif COVID-19. - Gambar fail/AP
A
A

MUMBAI - Selepas 12 hari, akhirnya bintang Bollywood, Shah Rukh Khan dan isterinya 'bertemu' anak sulung mereka, Aryan Khan yang ditahan dalam satu serbuan 2 Oktober lalu di atas sebuah kapal persiaran di Mumbai, India menerusi panggilan video.

Lapor media tempatan, anak pasangan itu kini ditempatkan di Penjara Arthur Road mulai Khamis lalu berkaitan kes dadah selepas menjalani tempoh kuarantin dan disahkan negatif Covid-19.

Kaedah pertemuan dengan cara panggilan video itu diperkenalkan di kebanyakan penjara di India sejak pandemik Covid-19 melanda sebagai kaedah alternatif bagi membolehkan banduan berkomunikasi dengan keluarga mereka dan peguam.

Difahamkan perbualan tiga beranak itu mengambil masa kira-kira 10 minit.

Namun demikian tiada sebarang perincian lanjut mengenai perbualan itu.

Perkara itu disahkan oleh pegawai kanan penjara itu namun enggan namanya didedahkan.

Mengikut prosedur, sebelum ini, setiap penghuni penjara yang sedang menjalani perbicaraan dibenarkan untuk berkomunikasi dengan keluarga atau peguam mereka sekurang-kurangnya dua atau tiga kali setiap bulan.

Setakat hari ini, Penjara Arthur Road dibekalkan 11 telefon pintar bagi membolehkan banduan berkomunikasi dengan pihak luar.

Penjara Arthur Road kini menjadi 'rumah sementara' kepada Aryan Khan, 23, dan rakan-rakannya yang turut ditahan dalam serbuan tempoh 8 Oktober lalu selepas mahkamah menolak permohonan ikat jamin. - Awani

Berikut kronologi kejadian penahanan Aryan Khan:

2 Oktober - Aryan Khan ditahan Biro Kawalan Narkotik (NCB) ketika melakukan serbuan di atas Cordelia ketika kapal itu berlayar menuju ke Goa.

3 Oktober - Dihadapkan ke mahkamah. Mahkamah tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

8 Oktober - Mahkamah sekali lagi menolak permohonan peguam bela Aryan Khan untuk diikat jamin, Aryan terus ditahan di bawah perintah penjagaan mahkamah (judicial custody) dan dihantar ke Penjara Arthur.

11 Oktober - Mahkamah menetapkan 13 Oktober untuk tarikh pendengaran selepas NCB memohon sedikit masa lagi untuk melengkapkan siasatan serta memohon agar jaminan tidak dibenarkan kerana dikhuatiri menganggu siasatan.

13 Oktober - Mahkamah menangguhkan pendengaran kepada 14 Oktober.

14 Oktober - Mahkamah sekali lagi menolak permohonan jaminan dan Aryan Khan dihantar ke Penjara Arthur Road selepas menjalani kuarantin dan disahkan negatif COVID-19. Permohonan semula jaminan akan didengar Rabu depan (20 Oktober).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!