X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Bakal pengantin tak lengkap vaksin balik kampung diarah patah balik

Shafien (kiri) bertanya khabar orang ramai yang beriadah di kawasan Pantai Geting, Tumpat pada Jumaat.
A
A

TUMPAT - Sepasang kekasih yang mahu pulang ke kampung untuk mendirikan rumah tangga diarahkan berpatah balik ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Jeli kerana tidak lengkap dua dos vaksinasi Covid-19.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pasangan berumur 39 dan 44 tahun itu dipercayai dari Perak menuju ke Pasir Mas turut dikenakan kompaun sebelum diarah berpatah balik pada jam 12 tengah hari Jumaat.

Beliau berkata, selain pasangan kekasih itu, pihaknya turut mengenakan kompaun kepada 10 lagi individu di Tanah Merah pada awal pagi Jumaat atas kesalahan beriadah tanpa lengkap dua dos vaksinasi.

"Kesemua 12 individu berkenaan dikompaun sebanyak RM2,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Shafien sebelum itu membuat pemantauan Ops Pematuhan Covid-19 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 di Pantai Geting di sini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, pihaknya juga menggunakan dua dron untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan tumpuan pelancong di negeri ini.

Beliau berkata, lokasi berkenaan melibatkan kawasan pantai iaitu di Tumpat dan Bachok.

"Penggunaan dron ini adalah untuk membantu memudahkan kerja pemantauan dan untuk kami mengambil tindakan jika berlaku pelanggaran SOP melibatkan kawasan-kawasan berkenaan," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, keadaan trafik di pintu masuk sempadan negeri ini didapati berlaku kenaikan antara 10 hingga 15 peratus terutama melibatkan kenderaan dari arah utara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!