'Hati-hati, jangan terlalu celupar'

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas sebagai 'perang' terhadap orang bukan Melayu dan Islam disifatkan sebagai sangat cauvinis dan rasis.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sikap menteri kanan Kabinet kerajaan PH itu merosakkan keharmonian kaum di negara ini apabila mudah menganggap penyatuan orang Melayu sebagai ‘gendang perang’.

Menurutnya, pemikiran Setiausaha Agung DAP itu juga cukup bahaya kepada negara kerana beliau menolak sama sekali kesatuan orang Melayu sebagai ‘tiang seri’ keharmonian negara.

“Sejak bila perpaduan orang Melayu mahu ‘memerangi’ kaum lain? Bukankah keharmonian Malaysia selama ini, sedikit sebanyak berteraskan kepada perpaduan orang Melayu yang menjadi majoriti di negara ini?


ARTIKEL BERKAITAN: Kerjasama UMNO-Pas, kenapa DAP panas?

“Pandangan dangkal dan bahaya seperti Guan Eng ini ibarat menolak semangat Perlembagaan Persekutuan dan asas kepada perpaduan negara. Inilah ‘penyakit’ dan ‘kudis’ kepada Malaysia Baharu. Kita boleh nampak jelas - punca kudis politik degil dan jahat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, kenyataan Guan Eng itu tidak menggambarkan dirinya sebagai pemimpin kerana sarat dengan niat tersirat untuk menggalakkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

Katanya, semua sedia maklum perpecahan orang Melayu akan memberi keuntungan kepada pihak tertentu dan ‘orang’ mana yang bertepuk tangan jika Melayu berpecah.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga faham, lebih celupar dan cauvinis, maka lebih ‘hero’lah seseorang itu di mata ‘komrad’ mereka.


“Guan Eng perlu lebih hati-hati dengan kenyataan yang dibuat. Jangan terlalu celupar. Jangan hidup di dalam dunia politik sempit dan terlalu cauvinis,” katanya.

Kelmarin, UMNO dan Pas secara rasmi mengumumkan kerjasama rasmi antara kedua-dua parti bagi tujuan penyatuan ummah.