Lapan nelayan ditahan langgar syarat sah lesen

Sebuah bot nelayan ditahan Maritim Malaysia Perak selepas disyaki melanggar syarat sah lesen Foto: ihsan Maritim Malaysia Perak
Sebuah bot nelayan ditahan Maritim Malaysia Perak selepas disyaki melanggar syarat sah lesen Foto: ihsan Maritim Malaysia Perak
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan tiga bot nelayan tempatan yang didapati melanggar syarat sah lesen sekitar Pulau Lalang dan Pulau Jarak di sini pada Isnin dan Khamis lalu.

Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot dikendalikan lapan nelayan termasuk empat warga asing ditahan ketika melaksanakan rondaan bersepadu Op Benteng dan Op Sayong.

"Pemeriksaan pertama dijalankan di Pulau Lalang pada Isnin mendapati dua bot tempatan Kelas B itu dikendalikan empat kru warga tempatan berusia dari 40 hingga 60 tahun.

"Mereka melakukan aktiviti perikanan di sekitar 2.7 batu nautika iaitu di bawah 5 batu nautika yang dibenarkan oleh syarat sah lesen," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Hasil tangkapan disita Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. Foto: ihsan Maritim Malaysia Perak
Hasil tangkapan disita Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. Foto: ihsan Maritim Malaysia Perak

Menurutnya, operasi diteruskan dan menahan bot Kelas C yang dikendalikan tiga kru warga Thailand dan seorang kru warga Kemboja di Pulau Jarak.

"Mereka disyaki menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan serta tidak mematuhi syarat sah lesen iaitu melakukan aktiviti penangkapan ikan di bawah 12 batu nautika.

"Pemeriksaan lanjut mendapati tiga kru mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit sah manakala seorang lagi kru dokumen telah tamat tempoh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Shahrizan, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (B) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959 bagi kesalahan dokumen tamat tempoh.

Tambah Shahrizan, kesemua kru dan tekong bot serta hasil tangkapan ikan seberat 580 kilogram dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu, Sitiawan untuk tindakan lanjut.