'Speedy Tigers' rekod kemenangan kedua ke atas Wales

Arulselvaraj
Arulselvaraj
A
A
A

SKUAD hoki lelaki kebangsaan meneruskan rentak kemenangan apabila menumpaskan Wales 3-1 pada Siri Jelajah United Kingdom 2021 di Kelab Hoki Reading, pada Selasa.

Kemenangan dalam perlawanan ujian keempat yang juga terakhir siri jelajah berkenaan juga adalah kejayaan kedua berturut-turut dicatatkan pasukan kendalian A Arulselvaraj itu selepas menang tipis 4-3 ke atas lawan yang sama, Sabtu lepas.

Mengulas mengenai keputusan pada Selasa, Arulselvaraj menyifatkan skuad kendaliannya berjaya mencapai salah satu matlamat dalam siri jelajah itu dengan belajar beraksi serta memenangi perlawanan dalam situasi tertekan.

“Kemenangan yang bagus untuk hoki Malaysia dan juga rakyat Malaysia. Kemenangan ini lebih manis kerana kami melalui perjalanan tiga jam untuk sampai ke venue perlawanan, kami bermain dalam cuaca yang sejuk dan juga hujan.

“Ini juga tujuan utama kami ke Jelajah United Kingdom kerana kami mahu pemain bermain dengan keadaan tertekan dan memenangi perlawanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayam tambatan Pasukan Hoki Terengganu (THT), Faizal Saari muncul wira apabila meledak dua gol selang seminit, masing-masing menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-17 dan jaringan padang pada minit ke-18.

Wales merapatkan jurang dengan menjaringkan gol melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-58 menerusi Loan Wall namun Muhammad Razie Abd Rahim kembali menjarakkan kedudukan apabila menyumbat gol ketiga negara menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-59 untuk mengesahkan kemenangan milik Malaysia.

Sementara itu, kemenangan tersebut juga menjadi kenangan cukup manis buat pemain muda negara, Muhammad Shafiq Hassan yang membuat penampilan pertamanya bersama skuad 'Speedy Tigers’.

Artikel Berkaitan:

"Kemenangan ini juga menaikkan semangat saya untuk kekal berada dalam skuad senior lelaki kebangsaan,” katanya.

Selain dua kemenangan ke atas Wales, Malaysia turut merekod satu kemenangan serta tewas sekali menentang Ireland, dalam keseluruhan empat perlawanan ujian di United Kingdom.

Malaysia akan meneruskan siri jelajah berkenaan apabila dijadual berdepan Perancis dalam perlawanan persahabatan, Jumaat ini bermula jam 7 malam waktu Malaysia di Pusat Hoki Wales.

Sementara itu, Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan meraih kemenangan kedua dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021 dengan menumpaskan skuad bawah 21 tahun England, 5-4 pada aksi yang berlangsung di Bisham Abbey, pada Selasa. - Bernama